SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak tindakan segera diambil terhadap pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ berhubung kandungan videonya yang menghina agama Islam.
Menurut Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer juga diingatkan agar tidak bersikap berat sebelah dalam kontroversi ini.
Beliau dalam masa sama turut mempersoal mengenai desakan yang dibuat pemimpin DAP itu hanya melibatkan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan penyampai Radio Era FM tetapi tidak melibatkan lelaki berkenaan.
“Jangan berat sebelah wahai Jelutong (Rayer). Ke kamu takut hilang undi kalau minta mamat yang menghina agama Islam ni dikenakan tindakan juga?
“Hormat kepada semua agama dan bangsa, bukan hanya pada satu agama dan satu bangsa sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, media tempatan pada Khamis melaporkan bahawa pihak polis sedang memburu pemilik akaun Facebook Vijayan Savarinathan berhubung kandungan video berdurasi lebih tiga minit.
Menerusi hantaran video terbaharu yang dimuat naik di Facebook pada Isnin, lelaki itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan dilakukannya tempoh hari.
Menurutnya, dia menjelaskan tindakannya itu berpunca daripada kemarahan terhadap penularan video melibatkan penyampai sebuah stesen radio yang sebelum ini didakwa menghina agama Hindu.