Gerakan gesa kerajaan batal cukai baharu, elak ekonomi terjejas

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan untuk membatalkan cadangan kenaikan caj pelabuhan sebanyak 30 peratus dengan menyifatkan langkah itu sebagai beban tambahan kepada ekonomi negara yang masih dalam fasa pemulihan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan bahawa peningkatan kos itu boleh memberi kesan besar kepada sektor pembuatan dan pengangkutan, malah berisiko menyebabkan kapal asing beralih ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang menawarkan caj lebih rendah.

"Malaysia selama ini menjadi pilihan utama kerana kos pengendalian yang kompetitif. Jika kenaikan ini dilaksanakan, kita akan kehilangan kelebihan itu dan berdepan cabaran lebih besar daripada negara serantau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa walaupun projek Terusan Kra di Thailand masih dalam perancangan, kejayaannya kelak boleh mengancam kepentingan pelabuhan Malaysia, kerana barangan dari Tanah Besar China boleh dihantar terus ke Lautan Hindi tanpa melalui Selat Melaka.

Dominic juga mendedahkan keresahan Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) dan wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyatakan bahawa cukai baharu hanya akan menambah tekanan kepada mereka, terutama ketika kos perniagaan semakin meningkat.

Sebagai penyelesaian, beliau menggesa kerajaan mencari pendekatan lain untuk meningkatkan pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dan sektor perniagaan.

"Kita perlu dasar yang lebih lestari, bukan hanya memperkenalkan cukai baharu yang akhirnya melemahkan daya saing kita sendiri," tegasnya.