PKR yakin prestasi kerajaan Perak beri kelebihan PH-BN di DUN Ayer Kuning

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak optimis bahawa rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Perak, Novinthen Krishnan berkata, pentadbiran kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan keupayaan dalam memastikan kestabilan dan pembangunan inklusif untuk semua lapisan masyarakat di negeri itu.

Menurutnya, landskap demografi DUN Ayer Kuning yang terdiri daripada majoriti pengundi Melayu serta kehadiran komuniti Cina dan India mencerminkan kepelbagaian demografi penduduk di Perak.

"Dasar inklusif dan pendekatan seimbang PH-BN dalam mentadbir negeri telah membina kepercayaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum.

"Kami yakin pengundi Melayu yang menitikberatkan kestabilan dan tadbir urus berkesan akan terus menyokong gabungan PH-BN yang komited dalam menjaga hak dan kebajikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Novinthen menjangkakan komuniti Cina dijangka terus menyokong PH-BN berikutan keprihatinan kerajaan negeri dalam merancakkan ekonomi tempatan dan meningkatkan infrastruktur di kawasan bandar.

Katanya, inisiatif kerajaan negeri seiring dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha memerangi rasuah serta menggalakkan pelaburan asing yang selari dengan aspirasi masyarakat perniagaan.

Jelasnya, begitu juga dengan usaha kerajaan negeri memperkasa masyarakat India melalui peningkatan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran serta penyelesaian isu perumahan dan tanah.

Dalam pada itu, Novinthen turut menghargai sumbangan Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan dalam menangani isu-isu tempatan dan memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.

Katanya, PH-BN akan menampilkan calon terbaik yang mampu membawa suara rakyat dan menangani cabaran semasa seperti kos sara hidup serta pembangunan infrastruktur tempatan.

TAMAT