SHAH ALAM - Pembatalan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang dihentikan serta-merta pada 6 Disember 2022 menunjukkan keputusan kurang matang di bawah pimpinan Kerajaan Madani.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan membatalkan projek berkenaan mengundang persoalan apabila alasan penjimatan sebanyak RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan sedangkan ia masih belum bermula ketika itu.
“Di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, 40 projek tebatan banjir seluruh negara menggunakan peruntukan luar bajet (off-budget) RM15 bilion.
“Peliknya, hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan yang diperlukan selepas beliau mengarahkan projek berkenaan dibatalkan.
“Saya hairan atas alasan apakah justifikasi beliau bahawa akan berlaku penjimatan RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Anwar mengarahkan projek tebatan banjir diberi kelonggaran Perbendaharaan Malaysia agar pelaksanaanya dapat dipercepatkan.
Berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau berkata, ia melibatkan peruntukan segera dan proses saringan awal (pre queue) yang lebih cepat.
Tambah Tuan Ibrahim ketika menjawat jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air, beliau pernah mengingatkan negara akan mengalami kerugian lebih besar jika projek berkenaan ditunda.
“Hari ini terbukti telahan saya benar apabila dilaporkan negara mengalami nilai kerugian akibat banjir pada 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sudahlah beras tempatan pun susah untuk didapati di pasaran, pengeluaran hasil padi pula terjejas dengan bencana banjir,” katanya lagi.
Beliau menambah, banjir terbaharu di Sabah dan Sarawak menambahkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu alami banjir buruk pada akhir 2024.
Lebih mengejutkan, selepas lewat tiga tahun Perdana Menteri baru menyedari kepentingan projek tebatan banjir yang pernah dibatalkan sebelum ini.
“Jika beliau tersedar dari awal, tidak perlulah beliau menelefon Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) hingga ke tengah malam seperti dilaporkan akhbar hari ini,” katanya.