SHAH ALAM - Pertukaran Perdana Menteri boleh berlaku sekiranya pemimpin itu tidak mendapat kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, ia kerana terdapat pemahaman segelintir rakyat bahawa Perdana Menteri hanya boleh dipilih melalui kaedah pilihan raya sahaja.
“Rakyat kena faham penukaran Perdana Menteri (selain pilihan raya) boleh dilakukan dengan cara menurut Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah amat salah mana-mana rakyat menyatakan sebaik sahaja Perdana Menteri angkat sumpah, beliau hanya perlu buat satu usul percaya atau tidak percaya dan sebaik sahaja memenangi usul tersebut beliau tidak boleh diturunkan selain melalui pilihan raya.
“Seorang Perdana Menteri wajib mempertahankan keyakinan dari hari pertama sehingga hari terakhir beliau melepaskan jawatan berkenaan apabila cukup penggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media NGO Islam Melayu Malaysia di sebuah hotel pada Isnin.
Hadir sama Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah), Mohd Zai Mustafa; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali dan Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Masridzi Sat.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu berkata, parti kini sedang mempersiapkan jentera mereka bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini.
Ujarnya, arahan persiapkan jentera parti itu dikeluarkan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis pertemuan dan dialog dengan Badan Pimpinan Negeri (BPN) parti itu yang berlangsung pada Jumaat.
Menurut Muhammad Rafique, tidak salah untuk mengadakan pilihan raya mengejut atau melakukan penukaran kerajaan kerana ia dibenarkan dari segi Perlembagaan.
“Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan itu jelas apabila seseorang menjadi Perdana Menteri mendapat kepercayaan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat.
“Jika undang-undang membenarkan seseorang Perdana Menteri itu untuk hilang keyakinan dengan majoriti dalam Parlimen, maknanya undang-undang membenarkan kerajaan itu bertukar,” ujarnya.