'Jangan berpolitik sepanjang masa, AMK boleh tanding semua 56 kerusi DUN' - Mohd Lassim

JOHOR BAHRU - Pencapaian dan keharmonian dinikmati negeri ini membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu komited bekerja dan bukannya berpolitik sepanjang masa.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata, dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan unjuran hasil pelaburan, masih ada membangkitkan isu pembahagian kerusi seolah-olah pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung esok.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor tidak perlu berpolitik dalam setiap masa. Kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO Johor dan Barisan Nasional begitu komited memajukan Johor.

“Buktinya, dengan unjuran hasil dan juga berjaya menarik pelaburan serta penjenamaan model ekonomi baru yang dapat mencipta peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat negeri.

"Kemakmuran ini juga disokong oleh kepercayaan dan rasa kasih rakyat kepada pimpinan negeri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Lassim berkata, kenyataan AMK dan Amanah yang sering membangkitkan isu pembahagian kerusi untuk PRN16 telah menunjukkan sifat gelojoh dan pentingkan diri.

"UMNO Johor sendiri belum pernah melalui perhubungan negerinya berbincang tentang pembahagian kerusi untuk PRN16. Gambaran yang diberikan (AMK Johor) pula seolah-olah UMNO tamak dan PRN akan berlangsung esok hari.

"Lebih baik AMK dan sekutunya bertanding semua kerusi tanpa memikirkan soal berapakah kerusi yang akan UMNO tandingi pada PRN16 nanti.

“Seperti mana yang kita semua ketahui bahawa UMNO bukanlah Komponen Gabungan Parti Politik PH. UMNO juga boleh bergerak bertanding semua dan UMNO juga boleh memilih kerusi mana yang dirasakan sesuai untuk ditandingi," katanya.

Sebelum itu pada Ahad, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad dilaporkan berkata, BN terutama UMNO Johor perlu adil dan tidak menjadi Abang Long mendominasi kerusi berpotensi menang dalam pembahagian kerusi PRN.

Jelasnya, perundingan pembahagian kerusi nanti perlu mempraktikkan prinsip menang-menang melibatkan kedua-dua belah gabungan parti politik berkenaan.

Seterusnya, Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menyarankan BN dan UMNO Johor membuka ruang kepada PH di negeri ini untuk berperanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.