PKR Perak sokong jawatan presiden, timbalan presiden tidak dipertandingkan

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Mei ini.

Pengerusinya, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, perkara itu penting demi menjaga kestabilan parti dan kerajaan meskipun ia masih di peringkat cadangan.

"Kalau kita lihat Keadilan (PKR) merupakan parti yang memberi secara terus ahlinya, satu ahli satu undi kepada kepada setiap pimpinan daripada peringkat cabang hingga ke peringkat pusat.

"Namun kita faham dengan keadaan kita menjadi kerajaan sekarang dan untuk memastikan kelangsungan Perdana Menteri serta juga Kerajaan Perpaduan ini, saya rasa ada perkara yang perlu dinilai.

"Apabila parti Keadilan menjadi parti tunjang utama kerajaan berada dalam keadaan baik, sudah semestinya parti-parti lain dan juga gabungan dalam kerajaan itu akan menjadi lebih kukuh," katanya dalam sidang media di Pejabat PKR Perak di sini pada Isnin.

**media[3002157]**

Pada 1 Februari lalu, media melaporkan PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Mei ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.

Sementara itu, Mohamad Hairul Amir berkata, PKR Perak akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Tokong Kuan Im, Kampung Baru Chui Chak, Langkap dekat Teluk Intan pada 17 Februari ini.

"Pelbagai acara menarik telah disusun dengan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan melambangkan keunikan dan kekayaan warisan masyarakat Cina termasuk tarian singa, persembahan wushu.

"Dijangka kira- kira 1,500 pengunjung akan hadir bagi program bermula jam 7 malam yang akan dihadiri Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi," katanya.