DUN Selangor: PN kemuka 420 soalan kepada kerajaan Selangor

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Negeri Undangan (DUN) Selangor bagi penggal akan datang dijadualkan berlangsung bermula 18 Februari 2025.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan 420 soalan kepada kerajaan negeri Selangor.

Menurutnya, ADUN PN terbabit akan melibatkan diri secara aktif dalam perbahasan dan sesi soal jawab dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula 18 Februari ini.

"Kami tuntas untuk mengangkat suara rakyat Selangor, melindungi hak, kepentingan semua rakyat, menggubal dasar serta kebijakan yang prihatin rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Perbahasan kami mencakupi pelbagai isu - kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan lestari, pengagihan ekonomi yang adil, pengurusan cekap dan berkesan," ujarnya dalam kenyataan.

Selain itu, jelasnya, ia termasuk isu perumahan mampu milik, alam sekitar dan teknologi hijau, menyemarak syiar Islam, keselamatan serta kesejahteraan rakyat Selangor, perpaduan masyarakat majmuk dan keharmonian dalam kepelbagaian.

"Jom kita gempur Sidang Dewan Negeri dengan perbahasan yang bermutu tinggi, content yang berfakta dan penyampaian yang tegas. Melangkah maju bersama PN," tambahnya.

Terdahulu, Speaker DUN Selangor Lau Weng San dilaporkan berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berangkat ke pembukaan sidang pada tarikh berkenaan dan persidangan itu akan berlangsung selama dua minggu.

Weng San turut berkata, titah Sultan Sharafuddin pada istiadat pembukaan dijangka menjadi tumpuan utama sepanjang dua minggu bersidang.

Sebelum ini, persidangan DUN Selangor yang berlangsung bermula 15 November ditangguhkan pada 27 November ke satu tarikh akan ditetapkan kelak.

Sebanyak 104 pertanyaan lisan dijawab, manakala Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan Selangor 2025) diluluskan pada persidangan yang berlangsung selama lapan hari itu.