KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan DAP Pulau Pinang yang mahu mengumpul dana bagi mengadakan kelas pemahaman nama dan budaya masyarakat Cina untuk pemimpin Pas sebagai sesuatu yang menarik.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar dana tersebut digunakan untuk memberi asas pendidikan Islam kepada pemimpin DAP.
"Saya sangat terharu dengan keikhlasan DAP Pulau Pinang ini yang sanggup mencari dana bagi mengadakan kelas untuk pemimpin Pas. Ini satu usaha yang hebat dan mengagumkan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Namun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan bahawa terdapat menteri DAP yang pernah menyebut sesuatu yang bukan hadis tetapi menganggapnya sebagai hadis, satu tindakan yang disifatkannya sebagai penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.
"Kesilapan ini jauh lebih besar daripada sekadar kekeliruan mengenal pasti nama dan kebudayaan masyarakat Cina. Lebih mengecewakan, kesilapan ini tidak pernah diperbetulkan atau disusuli dengan permohonan maaf sehingga ke hari ini," ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan seorang menteri yang menyebut akan mengadakan solat hajat, sesuatu yang dianggapnya sebagai mempermainkan istilah ibadah dalam Islam.
"Saya mohon mencadang, lebih baik dana yang dikumpul itu digunakan untuk mengajar pemimpin DAP yang bertaraf menteri mengenai asas Islam," katanya lagi.
Menurutnya, meskipun kementerian yang diterajui menteri tersebut mempunyai peruntukan besar, ia mungkin telah digunakan untuk tujuan lain.
"Peruntukan itu tentu sudah digunakan untuk menghias pejabat dengan hiasan Krismas, Tahun Baharu Cina dan termasuklah Hari Raya tidak lama lagi, atau mungkin juga untuk pertandingan tandas dan lain-lain," katanya sinis.
Sebelum ini, DAP Pulau Pinang dilaporkan sedang mengumpul dana untuk mengadakan kelas pemahaman nama dan budaya masyarakat Cina khusus buat pemimpin Pas susulan insiden membabitkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, yang mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan keluarga Yeoh daripada konglomerat YTL Corporation Bhd.