PN makan tengah hari bersama pengamal media bahasa Cina

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) memanfaatkan Tahun Baharu Cina dengan mendekati dan memahami masyarakat kaum Cina dengan lebih mendalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengadakan jamuan makan tengah hari bersama ketua dan pengarang kanan beberapa saluran berita bahasa Cina termasuk mendengar pandangan mereka.

“Selain bertukar pandangan berkaitan pendirian, hala tuju serta aspirasi PN mahupun Bersatu, saya mendengar dengan teliti perkara-perkara yang mereka utarakan dengan terbuka.

“Ia kerana, itu mencerminkan hasrat serta luahan rasa sebilangan besar masyarakat Cina berkaitan isu-isu semasa dalam negara merangkumi aspek ekonomi, politik dan sosial,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden Gerakan, Datuk Tan Lek Khang dan Ahli Exco Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Goh Gaik Meng.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pertemuan makan tengah hari tersebut adalah bersama media daripada Malaysia Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh dan Oriental Daily News Malaysia.