Perak digesa percepat, tetapkan garis panduan ketat penjualan arak - Pemuda Pas

SHAH ALAM - Kerajaan Perak digesa mempercepatkan proses kajian termasuk menetapkan garis panduan yang lebih ketat terhadap penjualan dan pengiklanan arak khususnya di kawasan terbuka atau berdekatan kawasan sensitif seperti sekolah serta tempat ibadah.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, perkara tersebut adalah satu usaha memastikan kesejahteraan masyarakat, mengurangkan kesan negatif alkohol dan memelihara keharmonian antara kaum serta agama.

“Sebagai sebuah negara yang menitikberatkan nilai Islam dan kesejahteraan masyarakat majmuk, sebarang usaha untuk mengawal penjualan arak adalah satu langkah wajar.

“Statistik telah membuktikan bahawa penyalahgunaan alkohol sering dikaitkan dengan peningkatan kadar jenayah, kemalangan jalan raya dan masalah sosial lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan Perak tidak menghalang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan kajian terhadap larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telahpun mendapatkan maklum balas daripada MBI yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.

Dalam pada itu, Mohd Hafez berkata, pihaknya menyambut baik langkah dan usaha tersebut kerana ia merupakan perkara yang amat baik.

“Justeru, langkah kerajaan negeri untuk meneliti peraturan ini bukanlah satu bentuk sekatan semata-mata, tetapi lebih kepada memastikan keseimbangan dalam aspek kesihatan, keselamatan dan moral masyarakat.

“Pemuda Pas juga ingin menegaskan bahawa kawalan penjualan arak bukanlah satu tindakan menafikan hak mana-mana kaum atau agama, sebaliknya ia bertujuan untuk melindungi kepentingan semua rakyat.

“Malah, banyak negara bukan Islam turut mengamalkan kawalan ketat terhadap penjualan dan penggunaan alkohol kerana menyedari impak buruknya kepada masyarakat,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya juga ingin menggesa supaya kesedaran mengenai bahaya alkohol diperluaskan melalui kempen pendidikan yang menyeluruh kepada masyarakat.

Tambah Mohd Hafez, Pemuda Pas akan terus mendukung sebarang usaha yang membawa kebaikan kepada rakyat dan menitikberatkan pemeliharaan akal serta nyawa sebagai sebahagian daripada keutamaan dalam pentadbiran negara.