KOTA KINABALU - Jawatan bagi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah mungkin sekali lagi akan menyaksikan perubahan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Pengerusi Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, proses tersebut masih sedang berjalan di mana perbincangan dilakukan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Biro Politik.
"Sedang berjalan (perbincangan), sebab itu hujung minggu lalu kami ada kongres khas di Kuala Lumpur dan kami sudah ada perbincangan dengan Presiden, Biro Politik. Proses sedang berlangsung jadi sabar," katanya di sini, pada malam Khamis.
Beliau berkata demikian selepas wujud desas desus bahawa pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah tidak dipersetujui susulan kouta tersebut sepatutnya milik PKR bagi di negeri ini.
Diminta mengulas lanjut jika ada perbincangan dibuat bersama pemimpin PH Sabah, beliau yang juga bekas Pengerusi PH Sabah berkata, perkara itu diserahkan kepada Pengerusi MPN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
"Saya bukan pengerusi PKR, kena tanya Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha, saya hanya Pengerusi Biro Politik. Jadi kami biarkan Pengerusi PKR untuk berbincang dengan mereka," katanya.
Pada 1 Disember lalu, Christina tewas sebanyak tiga undi dalam pemilihan Pengerusi PH Sabah dan undian tertinggi memihak kepada Ewon.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ucapannya pada majlis tersebut mengingatkan ahlinya di Sabah bahawa PKR bukan parti dari Semenanjung sebaliknya beliau menegaskan bahawa PKR adalah parti nasional.
Menurutnya, usaha mengangkat agenda parti nasional antara tiga perkara yang ditekankan dalam perjuangan sejak PKR ditubuhkan pada tahun 1999.
"Kita membawa politik nasional pelbagai kaum sebab itu tidak ada mana-mana parti dalam negara selain Keadilan yang pernah menang di semua negeri dan kita pernah ada wakil rakyat Melayu, Cina, India, kita ada Kadazandusun, kita ada Iban dan Bidayu pernah (menang) dan inilah keistimewaan Keadilan.
"Kita jangan sekali-kali apologetik, kita bukan parti Malaya (Semenanjung), kita parti nasional.
"Dalam perlembagaan kita jelas, misalnya kalau tidak ada naib presiden yang menang empat orang tempoh hari, Presiden mesti melantik naib presiden dari Sabah dan Sarawak, itu hanya ada dalam Keadilan," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.