25 peratus agihan 'kerusi panas' belum dimuktamadkan PH Sabah

KOTA KINABALU - Masih ada 25 peratus lagi pembahagian kerusi yang belum dimuktamadkan oleh Pakatan Harapan (PH) Sabah menerusi siri rundingan yang diadakan dalam gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Peto Galim berkata, setakat ini sebanyak 75 peratus kawasan telah selesai untuk rundingan pembahagian kawasan dan diagihkan kepada rakan parti dalam gabungan.

"Jadi ada 25 peratus lagi yang belum dimuktamadkan dan harus diingat ada kawasan-kawasan yang menjadi 'kerusi panas' yang akan menjadi pertindihan dan minat kepada semua.

"Kalau kita tidak boleh membuat keputusan yang tuntas, maka kita akan minta bantuan daripada presiden-presiden.

"Kita tidak mahu rundingan ini akan berakhir dengan meja terbalik atau berlaku persengketaan emosi, jadi kita harus profesional dengan perkara begini," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata, untuk rundingan kerusi di peringkat parti lain belum lagi dimulakan.

"Saya boleh katakan hampir 75 peratus sudah diagihkan kepada parti-parti dalam PH iaitu antara empat parti yang berada di PH Sabah ini.

"Saya nampak mungkin ada terlewat sedikit, namun rundingan ini hanya dalam PH Sabah saja dan untuk rundingan di peringkat lain, di kanan, kiri dan atas ini kita belum mulakan.

"Mungkin masing masih melihat, menunggu saat dan keadaan yang tepat atau mood yang tepat barulah kita akan berunding," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat merangkap Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin menjelaskan bahawa kelewatan rundingan kerusi dalam PH Sabah bukan disebabkan ada isu namun masing-masing mempunyai kekangan dari segi waktu dan tanggungjawab.

"Bila sudah di hujung tahun ini semua pihak sibuk dengan perayaan atau mengadakan program selain mengejar indikator prestasi utama (KPI) masing-masing, jadi untuk mendapat ruang untuk bermesyuarat mesti ada setiap satu pihak yang kebetulan ada program lain yang sudah dirancang lama.

"Jadi kita pun sudah mencari tarikh sesuai kalau kita dapat selesaikan bulan ini, kita akan selesaikan. Kalau tidak, selewat-lewatnya awal Januari tetapi di peringkat PH setakat ini tiada masalah, kita dalam perundingan," katanya.