Kaedah pemilihan sedia ada wajar dikekalkan

SHAH ALAM - Kaedah pemilihan Yang di-Pertua Negeri sedia ada sudah memadai dan wajar dikekalkan, dengan kedudukannya adalah pelengkap kepada konsep Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, walaupun Yang di-Pertua Negeri bukanlah termasuk dalam institusi beraja, tetapi peranan mereka adalah untuk menjadi ketua negeri, sebagaimana negeri yang diketuai Raja Melayu.

Menurutnya, cadangan untuk mengadakan pilihan raya tidak menjamin dalam memastikan seseorang yang benar-benar berwibawa dan bersih dilantik memegang jawatan berkenaan.

“Jika dilihat daripada isu yang berlaku sekarang berkaitan pertikaian beberapa pihak terhadap pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah sebagai Yang di-Pertua Negeri, ia berkisar soal integriti dan kewibawaan kerana beliau dikaitkan dengan beberapa kes mahkamah sebelum ini.

“Dalam hal ini sekiranya dilaksanakan pilihan raya sekali pun, tidak ada jaminan bahawa pemimpin yang akan naik itu adalah seseorang yang benar-benar bersih dan berwibawa.

"Bahkan, Yang di-Pertua Negeri Sabah yang dilantik ini pun, pernah diangkat sebagai pemimpin utama negeri melalui pilihan raya.

“Jadi, cadangan ini tentunya bukan dapat menjawab persoalan yang ditimbulkan pihak yang kurang berpuas hati dengan pelantikan yang berlaku.

"Tambahan pula, politik negara kita tidak perlu dihangatkan lagi dengan tambahan pilihan raya di peringkat negeri untuk melantik seseorang sebagai Yang di-Pertua Negeri. Kaedah yang ada sudah memadai,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak yang meminta kerajaan mempertimbangkan pemilihan Yang di-Pertua Negeri selepas ini dibuat melalui pilihan raya.

Jelasnya, perubahan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan timbul sebarang polemik pada masa akan datang termasuk tuduhan tidak berasas kepada kerajaan semasa.

Tambah Muhammad Fathi, apa yang penting adalah keprihatinan dan integriti di pihak pemegang jawatan sedia ada yang mempunyai pengaruh dan peranan dalam proses pelantikan tersebut.

“Sebagaimana yang kita tahu, pelantikan seseorang Yang di-Pertua Negeri dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Menteri negeri berkenaan.

“Maka, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membuat tapisan yang perlu bagi memastikan seseorang yang menjadi ketua utama negeri atau sebagai Yang di-Pertua Negeri benar-benar berwibawa dan berintegriti.

“Perkara ini penting supaya rakyat tidak mempersoalkan pelantikan berkenaan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat,” jelasnya.

Ditanya gesaan agar Malaysia mencontohi sistem pelantikan Presiden di Singapura yang dilaksanakan melalui pilihan raya secara langsung, beliau menjelaskan, ia bukanlah satu model yang wajar dilihat kerana negara mempunyai sistem yang tersendiri.

Menurut beliau, model di Malaysia terdiri daripada ketua utama negara iaitu Yang di-Pertuan Agong, ketua-ketua utama negeri yang terdiri daripada Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri.

“Mereka ini tidak melalui proses pilihan raya kerana Raja-raja Melayu dilantik berdasarkan kepada sistem beraja manakala Yang di-Pertuan Agong pula dilantik berasaskan kepada prinsip penggiliran di bawah Perlembagaan.

“Yang di-Pertua Negeri pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan.

"Jadi, kita mempunyai sistem kita sendiri, tidak wajar untuk mencampuradukkan dengan sistem yang ada di negara republik seperti Singapura,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, sekiranya mahu mempertimbangkan pemilihan Yang di-Pertua Negeri selepas ini dibuat melalui pilihan raya, ia masih boleh dilaksanakan tetapi memerlukan proses yang panjang.

Jelasnya, beberapa langkah perlu dilaksanakan termasuk pindaan undang-undang tubuh negeri, Perlembagaan Persekutuan dan beberapa undang-undang lain seperti undang-undang pilihan raya.