Konvensyen Amanah Johor tumpu kerjasama UMNO, putuskan kerusi Muda

JOHOR BAHRU - Kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menjadi tumpuan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor pada Sabtu ini.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara lain turut diberikan tumpuan ialah persediaan PRU16 termasuk kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Parlimen Muar yang kini disandang wakil rakyat dari Parti Ikatan Demokratik (Muda).

"Antara agenda yang bakal dibahas serta diputuskan adalah berkaitan dengan kerjasama bersama dengan UMNO/BN untuk PRN dan PRU yang akan datang.

"Konvensyen kali ini lebih menjurus kepada persediaan untuk berhadapan dengan PRU16 dengan tema 'Membugar Kekuatan Mendepani Pilihanraya'.

"Dalam hal itu, antara kerusi yang akan diputuskan adalah kesediaan parti Amanah Johor untuk berbincang bersama rakan dalam PH berkenaan kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini diberikan secara ihsan kepada parti Muda di Johor," katanya dalam kenyataan.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata konvensyen kali ini juga, akan mengetengahkan isu berkaitan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh yang telah diperjuangkan selama ini.

Konvensyen Amanah Johor bertempat di sebuah resort di Skudai akan dirasmikan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sebelum ini, Amanah Johor dilaporkan kerap menuntut penubuhan segera Kerajaan Perpaduan di Johor sebagai menyahut seruan penubuhan kerajaan di peringkat pusat.

Gesaan dibuat agar wakil parti itu serta PH perlu menjadi sebahagian kepimpinan kerajaan negeri, sungguhpun BN) kini mendominasi dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Amanah Johor juga mencadangkan kerusi Muda di Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa diserahkan kepada PH pada pilihan raya akan datang.

Pada PRN Johor Mac 2022, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR, Amanah dan Muda masing-masing satu kerusi.

Seterusnya, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi iaitu Bersatu (dua) dan Pas(satu).