Armada Bersatu bantah keputusan pemilihan

SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan bantahan terhadap keputusan pemilihan sayap itu yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada Selasa.

Penolong Setiausahanya, Muhammad Faiz Rahmad berkata, pengumuman itu mengundang tanda tanya bukan sahaja daripada perwakilan Armada, tetapi juga ahli-ahli Bersatu dan seluruh rakyat di negara ini.

Menurut beliau, JPP perlu menjawab beberapa persoalan antaranya mengenai proses pemilihan sama ada ia dijalankan secara telus atau terdapat sebarang rancangan atau campur tangan individu tertentu yang mempunyai agenda peribadi bagi menentukan sebarang keputusan.

"Hal ini dibangkitkan kerana lebih daripada 4,700 undi telah dibuat oleh perwakilan yang ingin memilih saf kepimpinan Armada baharu dengan adil dan terbuka.

"Mengapakah proses dan tatacara pemilihan kali ini dilihat tidak dibuat dengan baik dan teratur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, kenyataan media dibuat oleh Pengerusi JPP pada 27 Oktober lalu hanya memberi ruang bantahan dibuka sehingga jam 10 pagi, Isnin dianggap satu proses tidak teratur dan diluar kebiasaan kerana bantahan sepatutnya dilakukan selepas pengumuman dibuat.

"Apakah perkara yang ingin dibantah jika jumlah undi, pemenang dan lain-lain hal berkaitan proses pengundian belum diketahui secara umum?

"Apakah terdapat sebarang kebocoran maklumat yang telah berlaku daripada pihak JPP kepada mana-mana pihak calon," soal beliau.

Muhammad Faiz memberitahu, pemilihan parti sejak dahulu lagi telah mengikut konvensyen prosedur perlaksanaan pilihan raya umum dan tidak pernah lagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuka ruang bantahan sebelum keputusan diumumkan.

"Persoalan kedua adalah, pada pemilihan sayap Bersekutu yang telah berlangsung pada awal Oktober lalu, umum sedia maklum segala bentuk isu, bantahan, pertikaian atau keputusan perlu dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Bersatu.

"Sebagai jawatankuasa diberi mandat penuh oleh Majlis Pimpinan Tertinggi dipengerusikan oleh Timbalan Presiden bagi ditentusahkan dan diputuskan. Keputusan Mesyuarat Pengurusan Bersatu adalah mutlak.

"Jadi, mengapakah bagi pemilihan Armada ini, pihak JPP bertindak secara sendiri tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersatu?

"Apakah terdapat sebarang campur tangan atau manipulasi dalam proses perlaksanaan pemilihan kali ini," ujar beliau.

Menurut Muhammad Faiz, pihaknya menuntut jawapan segera daripada JPP berikutan pengumuman terbabit.

"Kita semua perlu tahu apakah punca kuasa sebenar atau ruang lingkup kuasa dimiliki oleh JPP untuk menyiasat dan memutuskan sama ada sesuatu bantahan itu diterima atau ditolak?

"Lebih menghairankan lagi, bantahan-bantahan ini mendedahkan beberapa perkara yang amat ganjil," kata beliau.

Mengambil contoh keabsahan undi dari Armada Bersatu Bahagian Beaufort, Muhammad Faiz berkata, pada awalnya layak bersidang, tetapi secara tiba-tiba tidak diberi kelulusan untuk bersidang.

"Jika benar Armada Bahagian Beaufort tidak layak bersidang, mengapa kertas undi masih diedarkan untuk mereka?

"Ini satu persoalan besar yang perlu dijawab, kerana jika benar ada usaha untuk menghalalkan perwakilan tidak sah, maka kita sedang berhadapan dengan masalah lebih serius daripada sekadar teknikaliti pemilihan," jelas beliau lagi.

Menurut Muhammad Faiz, contoh lain membabitkan Armada Bersatu Bahagian Kalabakan pada 22 Oktober lalu.

"Mesyuarat Pengurusan Bersatu telah meluluskan senarai perwakilan rasmi dengan hanya 50 perwakilan dari empat cawangan, tetapi pada hari persidangan, secara tiba-tiba jumlah tersebut melonjak kepada lebih 180 perwakilan dari 12 cawangan.

"Dari mana datangnya angka tambahan atau perwakilan ini yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini dan adakah ini satu taktik untuk menambah undi secara tidak sah," soalnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, keseluruhan proses itu menuntut lebih daripada sekadar penjelasan biasa dan beliau menolak sebarang bentuk manipulasi atau campur tangan yang boleh mencemar integriti parti itu.

Ujar beliau, ahli Bersatu berhak mendapat jawapan yang sahih, bukan sekadar alasan atau penjelasan yang direka-reka untuk menutup kebenaran.

"Saya ulangi, kami tidak meminta lebih daripada apa seharusnya menjadi asas sebuah parti yang berdiri atas prinsip keadilan dan integriti.

"Kami menuntut ketelusan sepenuhnya, keadilan tanpa kompromi dan penghormatan kepada undi serta suara perwakilan akar umbi yang telah meletakkan harapan mereka kepada Bersatu.

"Hanya dengan ini kita dapat pulihkan keyakinan ahli, memantapkan perjuangan, dan menunjukkan kepada rakyat bahawa Bersatu benar-benar memperjuangkan integriti, kejujuran dan amanah," jelas beliau.