Undi 5,000 ahli UMNO jadi penentu

PAKATAN Harapan (PH) mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap jika majoriti penyokong tegar UMNO sekitar 5,000 orang mengundi calon mewakili Kerajaan Madani, Dr Joohari Ariffin pada 6 Julai ini.

PH juga perlu menggunakan pendekatan berbeza ketika berkempen untuk merekodkan kemenangan keempat selepas kejayaan di Pulai, Simpang Jeram dan Kuala Kubu Baharu.

Pemerhatian dan kajian awal penganalisis politik, Dr G Manimaran mendapati PH dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memiliki peluang sama rata untuk menguasai kerusi ditinggalkan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia 24 Mei lalu.

“Calon PH dari PKR ada peluang untuk menang kali ini, tetapi majoriti diramal tipis. Apa pun peluang adalah 50:50,” kata beliau kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, Manimaran meramalkan PH dan PN bakal bersaing sengit bagi memenangi hati 39,279 pengundi berdaftar di Sungai Bakap termasuklah 23,765 orang pengundi Melayu; 6,554 pemilih kaum India dan 8,960 pengundi Cina di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di 10 pusat pengundian.

Lapan PDM berkenaan ialah Padang Lalang dengan jumlah pengundi seramai 3,732 orang, Puteri Gunong (14,417 pengundi), Tasek Junjong (2,705 pengundi) dan Sungai Duri (5,745 pengundi).

Manakala, PDM Sungai Bakap (7,375 pengundi), Ladang Sempah (1,335 pengundi), Sungai kechil (2,329 pengundi) dan Kampung Besar seramai 1,641 pengundi.

**media[2707147]**

“Situasi di Kuala Kubu Baharu akan berulang di Sungai Bakap. Pengundi UMNO akan menentukan kemenangan dan aras majoriti diperoleh PH,” katanya.

Manimaran juga tidak menolak situasi sebahagian besar penduduk tempatan yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati ekoran kos sara hidup yang meningkat dan tindakan kerajaan menarik balik subsidi diesel sekali gus menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan di pasaran tempatan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, PN menang di semua PDM kecuali PDM Sungai Bakap dan Puteri Gunong, sementara PDM Sungai Duri mencatatkan kemenangan paling tinggi iaitu 83 peratus.

Justeru, Manimaran melihat peluang PH merampas semula kerusi yang dikuasai selama tiga penggal sebelum ini banyak bergantung kepada sama ada lebih 5,000 ahli UMNO mahu mengundi calon mewakili Kerajaan Madani atau pembangkang.

“Jadi jentera UMNO perlu menggunakan pendekatan sama seperti diguna pakai di Kuala Kubu Baharu dan bekerja keras bagi meyakinkan sebahagian besar daripada lebih 5,000 ahlinya keluar mengundi calon PH dan bukan PN.

“Tindakan itu perlu kerana kemenangan di PRK Sungai Bakap bukan hanya penting bagi PH, malah bakal memberi petunjuk bahawa sokongan rakyat terhadap UMNO kini semakin pulih selepas mereka kalah teruk semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Manimaran berkata, biarpun dari segi calon PH mempunyai kelebihan kerana Joohari sudah dikenali ramai susulan pernah berkhidmat sebagai guru dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, namun banyak isu nasional menyelubungi Kerajaan Perpaduan termasuk isu penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad kepada syarikat pro-Isreal.

Ujarnya, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP pula terpalit isu kegagalan menyelesaikan masalah bekalan air, perumahan dan projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Bakap yang berlarutan sekian lama.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali pula berpandangan, PN dijangka meneruskan cengkamannya di tiga PDM yang mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus iaitu PDM Padang Lalang, Kampung Besar dan Sungai Duri.

Tambahan pula, Mazlan berkata, PN mempunyai rekod cemerlang dan menang dengan perbezaan undi besar antara kira-kira 800 hingga 3,000 undi di PDM Padang Lalang, Sungai Duri dan Kampung Besar.

Manakala PH pula dijangka terus menguasai dua PDM campuran iaitu Puteri Gunong dan Sungai Bakap yang dimenangi mereka pada PRN lalu kerana majoriti pengundi bukan Melayu kekal bersama Kerajaan Madani biarpun pelbagai isu dimainkan pembangkang.

Bagaimanapun, Mazlan tidak menolak kemungkinan PN bakal kalah di dua PDM iaitu Ladang Sempah dan Tasek Junjong dimenangi mereka, kelebihan undi kecil iaitu 80 dan 237 undi pada PRN lalu, susulan peningkatan semula sokongan kaum India kepada Kerajaan Madani sekarang.

“PH juga ada kelebihan untuk menang dalam PRK DUN Sungai Bakap apabila jentera UMNO nampak lebih bersungguh-sungguh dan berkempen secara tersusun, selain sokongan jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri Pulau Pinang. Jadi keputusan PRN DUN Sungai Bakap mungkin 50-50 iaitu kalau PH menang atau kalah pun dengan majoriti tipis kurang dari 1,000 undi,” katanya.

Justeru, Mazlan berkata, PH perlu mencuri undi dari PN di tiga kerusi majoriti Melayu iaitu Padang Lalang, Sungai Duri dan Kampung Besar yang kini menjadi kubu kuat pembangkang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!