PH dan PN sama kuat, sama gagah

KEDUA-DUA calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dilihat mempunyai kekuatan masing-masing untuk menang pada 6 Julai nanti.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dilihat mampu menawan hati pengundi walaupun terdapat perbezaan ketara dari segi kelayakan akademi kerana beliau sudah mempunyai hubungan rapat dalam kalangan penduduk setempat sejak 10 bulan lalu.

Malah faktor Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kuat di utara selain tagline ‘Calon Rakyat’ yang digunakan juga dilihat mampu untuk membantu Abidin mendapat sokongan yang diperlukan bagi menang PRK Sungai Bakap.

**media[2709140]**

Bagi pemerhati politik di Pulau Pinang, Azizi Safar, dalam tidak sedar, Abidin telah mula ‘berkempen’ sejak Ogos 2023 apabila Allahyarham Nor Zamri Latif selaku bosnya memenangi kerusi Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Ini bermakna, Abidin sudah mempunyai 10 bulan rekod perkhidmatan kepada penduduk Sungai Bakap manakala calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang tiada rekod dan beliau orang baru,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Azizi yang merupakan bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Abidin tinggal di kawasan kampung, maka beliau lebih memahami keperluan pengundi.

“Kebanyakan kawasan di DUN Sungai Bakap adalah kawasan yang boleh dikategorikan sebagai pedalaman, kampung-kampung tradisional berbanding kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

“Keperluan dan kehendak pengundi kawasan ini tidak sama dengan mereka yang tinggal di kawasan sub-bandar atau kawasan pertumbuhan baru. Isu-isu berkait kehidupan seharian atau bread and butter membentuk sokongan politik mereka,” jelasnya.

Selain itu, ujar Azizi, faktor pengaruh Kedah yang hampir dengan pengundi Sungai Bakap juga memberi kelebihan kepada Abidin.

**media[2709139]**

“Faktor Sanusi dalam mempengaruhi sokongan dan kecenderungan politik mereka tidak boleh dipandang rendah,” tambahnya.

Bagaimanapun, kelemahan calon PN adalah mereka merupakan pembangkang di peringkat negeri dan Persekutuan serta tidak dapat menjanjikan sebarang peruntukan atau projek kepada rakyat kerana kekangan kewangan.

“Ini berbeza bagi Joohari kerana beliau merupakan calon Kerajaan Perpaduan. Dengan status ini, beliau boleh menjanjikan pelbagai projek dan peruntukan selain mengadakan pelbagai program kerajaan semasa tempoh kempen untuk memancing sokongan pengundi.

“Selain itu, Joohari boleh menggunakan sumber serta jentera kerajaan negeri dan persekutuan untuk bantu dalam berkempen.

“Gabungan jentera kempen daripada parti utama iaitu PKR, DAP, Amanah, UMNO, MIC dan MCA juga satu kelebihan buat Joohari,” ujarnya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.