Cikgu Joo dapat sokongan kuat kerajaan, parti

KEKUATAN

CALON Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin mempunyai kelebihan kerana mendapat sokongan kuat daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat termasuk jentera yang hebat daripada semua parti yang terlibat.

Ini dapat dilihat menerusi pelbagai pengumuman projek dan aktiviti yang dibuat dalam tempoh seminggu lalu.

Malah banyak aktiviti kementerian dan agensi kerajaan dilangsungkan di Sungai Bakap dan kawasan sekitar selain program menteri yang tidak putus-putus turun ke kawasan ini sejak sebelum kempen bermula lagi.

Pasti ia memberi nilai tambah kepada calon PH sekali gus kelebihan untuk dinilai sekiranya pengundi memilih calon yang mewakili kerajaan.

Semuanya hanya untuk misi merampas kembali kerusi Sungai Bakap yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri tahun lalu walaupun peluang itu tidak mustahil dengan kerja keras yang dilakukan.

Berikutan itu seluruh jentera termasuk sokongan tenaga kerja rakan-rakan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan dilihat telah mula dikerah di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) sejak hari pertama berkempen.

Kehadiran mereka bukan sahaja bagi meraih undi semata-mata sebaliknya berperanan membetulkan stigma masyarakat terhadap kerajaan negeri serta PH hingga menyebabkan kerusi Sungai Bakap jatuh kepada PN sebelum ini.

Dengan setiap parti memberi tumpuan pada kawasan-kawasan tertentu, ia mungkin akan merubah pandangan serta sokongan ramai untuk memilih calon PH yang pastinya akan menjadi wakil rakyat kerajaan sekali gus dikatakan mampu menyelesaikan segala isu berbangkit di Sungai Bakap.

Malah sekiranya wakil rakyat PH yang dipilih nanti, beliau selari dengan pendirian bukan sahaja di peringkat negeri malah dengan pentadbiran di Putrajaya yang dikatakan mampu membawa kemajuan dan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Dengan menampilkan calon yang mempunyai latar pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang pengurusan, ia juga memberi kelebihan kepada PH dengan menawarkan perkhidmatan wakil rakyat yang lebih berketerampilan, profesional dan berilmu.

Meskipun Joohari atau mesra disapa dengan panggilan Cikgu Joo itu pada awalnya kekok dalam berpolitik namun bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu dilihat cepat belajar terutamanya ketika berada di pentas ceramah mahupun berdepan dengan soalan wartawan yang sentiasa mengikuti pergerakannya sepanjang berkempen.

**media[2709106]**

KELEMAHAN

MASALAH BEKALAN AIR, BANJIR BERI KESAN NEGATIF

MASALAH bekalan air dan banjir yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menjadi isu kritikal sepanjang tempoh berkempen sejak seminggu lalu.

Apa yang menjadi pertikaian pengundi ialah kegagalan Pakatan Harapan (PH) yang pernah memegang beberapa penggal kerusi DUN Sungai Bakap dan sembilan bulan oleh Perikatan Nasional (PN) namun masalah tersebut seperti tiada penyelesaian dan berlarutan hingga hari ini.

Isu masalah bekalan air di Mukim 5 antara isu besar yang dilihat menjadi bebanan kepada PH dalam kempen PRK kali ini berikutan ia dijadikan senjata utama pihak lawan.

Meskipun kerajaan negeri dan Persekutuan telah mengumumkan pelan jangka pendek dan panjang serta projek pembangunan yang sedang dilakukan pihak berkaitan seperti yang diumumkan beberapa kali oleh menteri bertanggungjawab sebelum ini, namun ia dilihat sukar diterima oleh penduduk Sungai Bakap.

Mungkin ia disebabkan masalah dihadapi itu telah berlarutan sekian lama tanpa sebarang penyelesaian atau penjelasan yang memuaskan hati mereka.

Disebabkan itu ada di antara mereka beranggapan segala pelan dan projek yang dilakukan kerajaan dianggap sebagai umpan pilihan raya sahaja selain tidak sanggup menerima tempoh yang mengambil masa beberapa tahun untuk selesaikan masalah mereka.

Bagi penduduk, hak mereka menikmati keperluan asas iaitu bekalan air bersih sama seperti penduduk lain dinafikan bertahun lamanya namun kini disebabkan pilihan raya, baru perkara berkenaan diberi perhatian.

Berbeza pula di kawasan Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau yang juga berdepan masalah air.

Mereka bukan sahaja menghadapi masalah gangguan bekalan air tetapi banjir kilat setiap kali hujan lebat berlarutan berjam-jam lamanya.

Masalah yang menghantui penduduk di kawasan itu juga antara perkara yang perlu diberi penjelasan konkrit oleh calon PH kerana ia melibatkan tanggungjawab kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Walaupun sudah beberapa bulan bencana itu tidak berlaku namun masalah itu antara kebimbangan rakyat yang perlu tindakan segera dan bukan projek mitigasi diumumkan ketika menjelang pilihan raya.

Selain itu, isu nasional seperti soal kos sara hidup, kenaikan harga barang, subsidi diesel serta kontroversi penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock antara isu nasional yang akan memberi tempias kepada calon PH dalam tempoh kempen ini.

Sekiranya tiada pencerahan yang berkesan diberikan kepada orang ramai, pastinya isu-isu yang dimainkan akan memberi kesan terhadap sokongan kepada calon PH pada hari mengundi nanti.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.