Pengundi Sungai Bakap mahu nikmati pembangunan

RATA-RATA pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mahu menikmati pembangunan dan peningkatan taraf hidup di kawasan tersebut.

Bagi mereka selain isu air dan banjir, beberapa masalah lain seperti gangguan lalat serta kesesakan trafik juga perlu diselesaikan.

Selain itu, penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan pembangunan baru seperti hospital dan fasiliti lain yang amat diperlukan bagi memberi keselesaan buat warga di kawasan Seberang Perai Selatan itu.

Contohnya, Hospital Sungai Bakap yang kini berusia 133 tahun sudah uzur dan tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit yang ramai pada ketika ini.

Hospital yang menjadi tempat kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sahaja sempit dan padat malah tidak menyediakan rawatan pakar hingga memaksa penduduk mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital lain.

Masalah lain yang perlu diberi perhatian juga oleh wakil rakyat baharu ialah kebanjiran warga asing yang semakin ramai menghuni di kawasan Sungai Bakap telah menimbulkan rasa tidak selesa orang ramai dan perlu ditangani segera.

Difahamkan, warga asing terbabit bekerja dengan perusahaan kecil dan kilang makanan berhampiran.

Bagi penduduk Mutiara Jaya, Muhammad Khairi Isahak, 32, dia berharap isu kebanjiran warga asing dapat ditangani kerana kehadiran mereka menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan termasuk ancaman keselamatan.

“Dari hari ke hari jumlah mereka kian bertambah, kami tidak mahu warga asing dibiar bebas tinggal di sini kerana kehadiran mereka hanya akan menambah banyak lagi masalah sosial di Sungai Bakap,” katanya.

Menurut seorang suri rumah, Bidayah Abdul Karim, 41, dia mahu isu masalah bekalan air ditangani segera kerana penduduk di Mukim 5 amat tertekan dengan gangguan yang berlaku setiap hari.

“Masalah berlaku mengakibatkan kualiti kehidupan kami terjejas, kadang-kadang nak bersihkan diri pun susah,” katanya yang tinggal di Jalan Permatang Ara.

Bagi pekerja swasta, Rosaidi Hashim, 42, masalah kesesakan trafik di pekan Sungai Bakap dan sekitar jalan utama perlu diberi perhatian pihak berwajib kerana ia mengganggu kelancaran perjalanan dan aktiviti harian penduduk terutamanya pada waktu puncak.

“Isu kesesakan bukan perkara baru di Sungai Bakap dan ia perlu diatasi sebaiknya sama ada melakukan pelebaran jalan ataupun mengubah sistem aliran trafik yang lebih efisien,” ujarnya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.