Abang Bidin tidak terjejas isu kelayakan akademik

KEKUATAN

SIKAP merendah diri yang ditampilkan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang mesra dengan panggilan Abang Bidin dilihat menjadi faktor beliau mudah didekati dan diterima masyarakat di Sungai Bakap.

Bekas pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff itu mungkin sudah tidak asing buat penduduk di sini kerana beliau sering turun padang bersama bosnya sebelum ini dalam mendampingi masyarakat sama ada menyelesaikan isu berbangkit atau menghadiri majlis keramaian.

Disebabkan itu, Abang Bidin dilihat mudah mendekati pelbagai lapisan umur dan masyarakat sepanjang dalam tempoh berkempen.

Beliau juga tidak segan silu memeluk atau bermesra dengan pengundi, mungkin memenuhi kriteria komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Biarpun pada awalnya dia kelihatan agak kekok, kaku dan gugup berdepan khalayak khususnya ketika diminta berucap, kelemahan itu nampaknya dapat diatasi dengan agak baik selepas seminggu berkempen.

Malah dia kini berani berdepan dengan media dan menjelaskan dengan baik apa sahaja persoalan termasuk mengenai latar belakang pendidikan dan isu sijil ISO yang dimainkan pihak lawan.

Pengalaman berkhidmat bersama ADUN sebelum ini memberi kelebihan kepadanya dan dikatakan lebih mahir serta mengetahui luar dalam permasalahan rakyat di kawasan Sungai Bakap berbanding dengan calon lawan.

Anak tempatan yang dilahirkan di Sungai Duri, menjadi bonus berganda buat Abang Bidin kerana lebih mengenali dan mendalami Sungai Bakap itu sendiri.

Berpengalaman memegang pelbagai jawatankuasa dalam beberapa organisasi terutamanya masjid dan surau menjadikan beliau rapat dengan anak kariah.

Sudah pasti setiap permasalahan sekalipun kematian atau pertambahan bilangan anak kariah seperti kelahiran baharu dan perkahwinan di kawasan yang ditadbir, membolehkan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu lebih mengetahuinya.

Meskipun tahap pendidikannya menjadi pertikaian, namun isu berkenaan tidak dilihat terlalu memberi kesan terhadap kempen serta keutamaan masyarakat.

Sebaliknya pengundi lebih mahukan pemimpin yang mudah didampingi, mampu mendengar sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Selain itu, krisis air yang tidak berkesudahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, biarpun Sungai Bakap berada dalam kedudukan negeri yang ‘gah’ di Pulau Mutiara itu, mungkin menjadi sebab sokongan rakyat kekal kepada PN.

Komitmen dan kesungguhan bekas ADUN yang membawa isu berkenaan ke perhatian banyak pihak sebelum ini dilihat menjadi punca sokongan terus diberikan kepada calon PN yang diharapkan akan disuarakan sehingga masalah itu menemui jalan penyelesaian.

Selain itu, kerusi Sungai Bakap yang dikatakan agak terbuka berikutan sejarah politik di kawasan berkenaan memperlihatkan kerusi itu pernah dimenangi pelbagai parti politik, mempunyai potensi untuk terus mengekalkan kemenangan PN.

Tambahan pula, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kawasan Parlimen Nibong Tebal yang terdiri daripada kerusi DUN Sungai Bakap telah dimenangi Nor Zamri iaitu wakil Pas manakala DUN Jawi dimenangi wakil DAP dan DUN Sungai Acheh dimenangi wakil Barisan Nasional (BN).

**media[2709144]**

KELEMAHAN

JUMLAH PERATUSAN PENGUNDI RENDAH MAMPU JEJAS PELUANG

PERIKATAN Nasional (PN) perlu realistik untuk mencapai kemenangan kerana berhadapan dengan jentera yang kuat dari pihak lawan.

Malah mereka juga menyedari bahawa kerusi tersebut boleh dimenangi dalam jumlah yang tidak terlalu besar dan berisiko kalah jika jumlah peratusan mengundi menurun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, penyandangnya Allahyarham Nor Zamri Latif menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi sahaja.

Bilangan pengundi yang direkodkan ialah 38,409 dengan anggaran peratusan kehadiran sebanyak 76.88 peratus.

Oleh yang demikian dengan kekuatan kebersamaan yang dimiliki hasil gabungan Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya ini antara Barisan Nasional (BN)-PH, sudah pasti PN akan berhadapan dengan kesukaran.

Kekuatan jentera Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Putrajaya dan kerajaan negeri Pulau Pinang diyakini mempunyai strategi dalam memenangi hati rakyat di Sungai Bakap.

Untuk rekod, sebelum ini kerusi Sungai Bakap pernah disandang oleh PKR selama tiga penggal, sebelum beralih ke PN pada PRN lalu.

Tempoh yang ditadbir Nor Zamri selama tidak sampai setahun, mungkin boleh menyebabkan sokongan pengundi terhadap PN belum cukup kuat.

Kawasan ini dinaungi Parlimen Nibong Tebal dan ada tiga parti berbeza yang memerintah tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di satu kawasan Parlimen iaitu Pas, DAP dan BN menunjukkan bahawa ia mempunyai dinamika politik berbeza dengan tempat lain.

Pemimpin-pemimpin PH pula terus menekankan bahawa tiada peruntukan atau dana cukup diperolehi sekiranya kerusi itu diwakili pembangkang.

Tambahan pula, sentimen yang dimainkan sepanjang kempen di mana kemenangan atau kekalahan calon PN tidak akan menyebabkan sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan, dan ia adalah satu fakta.

Malah jika PN menang, wakil rakyat mereka tetap berstatus pembangkang di Pulau Pinang malah seperti yang dikatakan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebelum ini, ADUN pembangkang hanya mempunyai peruntukan yang terhad berbanding ADUN kerajaan.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.