Padang Serai Rompin Beza pendekatan PH-BN

Pilihan Raya Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman jadi ujian awal kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dua parti terbesar yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan ketika ini.

Kedua-dua kawasan ini ditakdirkan terpaksa mengadakan PRU15 lebih lewat susulan kematian calon, Karupaiya Mutusami dari PH  tiga hari sebelum tarikh pengundian di parlimen Padang Serai, dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman beberapa jam sebelum pusat pengundian dibuka pada 19 November lalu.

Dan kedua-dua kawasan ini juga menyaksikan perbezaan pendekatan antara dua parti dalam Kerajaan Perpaduan ini.

Di Tioman, Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan komponen PH membuat keputusan besar apabila meminta calonnya, Mohd Fadzli Ramly menarik diri demi memberi laluan kepada rakan barunya dari BN.

Amanah malah dilaporkan akan menggerakkan jentera parti bagi membantu kemenangan calon BN, Mohd Johari Hussain di DUN tersebut.

Untuk rekod, Johari merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan sejak memenanginya dalam PRU12 pada tahun 2008 dan kekal sebagai ADUN di sana dengan menang pada PRU13 dan PRU14.

Fadzli pula, dari sudut satu lagi, telah bertanding di sana dalam PRU11, PRU12, dan PRU13 sejak berada dalam gabungan Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) sehinggalah PH kini namun tidak pernah mengecap kemenangan.

Gagal elak pertembungan

Pendekatan berbeza walau bagaimanapun diambil di Padang Serai apabila pertembungan tidak dapat dielakkan antara calon PH, Dr Mohd Sofee Razak dengan calon BN, Sivarrajh Chandran.

Kedua-dua calon ini masing-masing tidak bersedia berganjak dari keputusan untuk terus bertanding di sana walaupun kedua-dua parti mereka sudah pun menjalin kerjasama di peringkat persekutuan membentuk Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, mendiang Karupaiya merupakan penyandang kerusi parlimen Padang Serai yang dimenanginya dalam PRU14 pada 2018. Kerusi tersebut dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak PRU12 melalui Gobalakrishan Nagapan sebelum mengekalkannya pada PRU13 melalui N Surendran Nagarajan.

Ketidaksediaan salah seorang calon untuk menarik diri bagi membolehkan hanya seorang wakil dihantar bertanding menghantar isyarat bahawa bentuk kerjasama PH-BN di peringkat persekutuan masih belum dapat dipraktikkan di peringkat negeri.

Malah ia juga menunjukkan sejauh mana wujudnya interaksi dan persefahaman antara pemimpin-pemimpin negeri dari kedua-dua parti - yang bakal dibaca sebagai parameter kekuatan hubungan kerjasama mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Situasi ini menunjukkan betapa cabaran di hadapan yang lebih besar barangkali menanti kedua-dua parti ini khususnya pada ketika persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuat tidak berapa lama lagi di negeri-negeri yang belum melaksanakannya.

Adakah mereka akan mengambil pendekatan Tioman, atau Padang Besar dalam berdepan suasana PRN nanti? Sama-sama kita saksikan perkembangannya.

PRU15