Perubahan sistem pentadbiran negara

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) digesa membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara menerusi jemaah menteri yang dilantik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Adun Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, perkara itu penting dalam usaha memastikan sistem sedia dapat diubah ke arah lebih baik.

"Kita mahu semuanya berubah baik dari segi sistem, dasar pentadbiran dan memacu keamanan. Selain itu, kita juga harapkan ada perubahan kebebasan media, pendidikan serta politik negara.

"Pas juga sentiasa menyokong segala usaha ke arah penambahbaikan sistem pentadbiran dalam negara," katanya ketika meminta mengulas mengenai jemaah kabinet yang diumumkan Tun Dr Mahathir," katanya  ketika ditemui Sinar Harian, di Taman Tas, hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir mengumumkan sembilan lagi Ahli Parlimen Harapan yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan.

Menyentuh mengenai pelantikan itu, Mohd Tarmizi  berkata, pihaknya masih belum mengetahui sejauh mana individu yang dilantik mampu menyandang jawatan yang diberikan.

"Kita tak pasti pengalaman mereka sebagai contoh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.. Jadi dalam hal ini kita kena tunggu dan lihat," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua Pas Paya Besar berkata, walaupun Pas masih lagi pembangkang di negeri ini, namun parti tersebut akan terus berusaha menyelesaikan pelbagai masalah melibatkan rakyat.

Menurutnya, kebajikan rakyat akan terus dijaga dalam usaha mengurangkan beban rakyat, justeru pelbagai pendekatan akan digunakan bagi membantu golongan yang disasarkan.

"Kita akan bantu fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya,  malah akan perluaskan program mengajar masyarakat untuk sama-sama membantu mengerakkan program kebajikan," katanya.

Mohd Tarmizi YahayaKuantan Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :