KOTA BHARU - Bukan sahaja masyarakat luar, malah rakyat Kelantan juga tidak ketinggalan mengakses aplikasi berita digital ‘Hebatkan Negaraku’ bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah, Teknologi hologram juga digunakan untuk memunculkan dan menayangkan imej holografik Najib di atas trak khas dan berbicara dengan pengundi 'secara langsung'.
Ciri AR dalam aplikasi itu pula membolehkan calon Parlimen BN wujud dalam bentuk tiga dimensi dalam telefon pintar pengguna dan berbicara dengan pengundi, manakala teknologi hibrid akan menampakkan calon BN itu seolah-olah berada di depan.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, untuk PRU14 kali ini, Umno lebih memilih untuk menggunakan sebaik mungkin teknologi terkini bagi tujuan berkempen.
Malah dengan teknologi yang ada kini, ia boleh menjimatkan masa untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘bercakap’ sendiri dengan orang kampung tentang manifesto yang mereka tawarkan.
“Kita telah memperkenalkan satu klip LED, kita selangkah lagi kehadapan dengan kehadiran hologram ini. Kita ada lima disemenanjung Malaysia yang akan bergerak dari satu destinasi ke destinasi.
“Ucapan selama 20 minit itu merupakan secara komprehensif tentang manifesto mereka. Kita merasakan ini satu kaedah bagi membolehkan mesej BN disampaikan dengan lebih dekat.
“Alhamdulilah, teknikalnya memang sangat berkesan. Kita akan pergi kawasan berlainan setiap hari,” katanya kepada media disini.
Beliau hadir di majlis Cintakan Alquran di Kampung Padang Upih, Ketereh disini.
Selepas solat Isyak, semua masyarakat setempat meluangkan masa mendengar amanat Datuk Seri Najib melalui aplikasi yang dilengkapi dilengkapi dengan teknologi augmented reality (AR), hibrid dan hologram itu.
Ia telah membantu merevolusikan kaedah kempen pilihan raya di Malaysia yang selama ini kekal dengan cara konvensional.