'Berani jemput KJ demi masa depan UMNO'-Akmal Saleh

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memuji tindakan berani Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerana menjemput beliau menghadiri program Rundingan Meja Bulat Nasional 1.0 (Rimbun 1.0) anjuran sayap parti itu.

Khairy hadir di Menara Dato' Onn, di sini setelah sekian lama tidak menampilkan diri di bangunan UMNO itu selepas disingkir daripada parti.

"Akhir sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO kerana berani, atas dua sebab iaitu pertama berani menghimpun dan anjur Rimbun 1.0. Orang lain tidak buat tetapi Pemuda UMNO buat sebab cakna masa depan negara.

"Kedua keberanian hari ini sebab jemput KJ ke sini," katanya pada Jumaat.

Ucapan itu dibalas oleh Muhamad Akmal bahawa keputusan jemput Khairy ke program itu adalah demi parti.

"Berani jemput KJ sebab masa depan UMNO. InsyaALLAH.

"Saya tak tahu lepas ni kena apa, 'ban' atau apa. Kalau kena 'ban', jemput saya ke Keluar Sekejap (KS),” katanya berseloroh.

Sebelum ini, Khairy sah telah menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu didedahkan oleh sumber pemimpin UMNO yang rapat dengan bekas Menteri Kesihatan itu kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya beliau mempelawa Khairy untuk kembali menyertai parti itu.

Difahamkan, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Ahmad Zahid pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa pertemuannya dengan Khairy hanyalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan politik.

Sementara itu, Khairy menerusi Rimbun 1.0 berkongsi pandangan mengenai pelaksanaan program Pembentukan Karakter yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, pelaksanaannya perlu diteliti atau hanya memandai pendidikan moral dan agama.

"Saya nak sampaikan satu pandangan, cara mengajar itu mesti tepat. Kalau pendidikan karakter ini terlalu banyak kepada penghafalan untuk lulus peperiksaan memang tidak sampai.

"Ia mestilah melibatkan satu benda yang interaktif supaya pelajar itu memahami sesuatu perkara misalnya tahu mengenai gangguan dan keganasan.

"Ini kerana ia bukan soal subjek tetapi bagaimana pelajaran itu diajar sama ada sesuai atau tidak dengan kehendak dan tujuan," ujarnya.