Tuntutan Saifuddin tiada asas perlembagaan parti - Rosniza

IPOH - Kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menuntut supaya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipanggil memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin disifatkan tidak berasas dan tidak mempunyai sandaran dalam perlembagaan parti.

Ketua Srikandi Bersatu Perak, Rosniza Ismail berkata, tindakan Saifuddin itu jelas bercanggah dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan bidang kuasa Lembaga Disiplin untuk menyiasat sebarang pelanggaran disiplin dalam kalangan ahli.

Menurutnya, lembaga berkenaan mempunyai mandat yang jelas untuk meneliti aduan sama ada seseorang ahli telah mencemarkan nama baik, imej atau maruah parti.

"Kaedah dan cara Lembaga Disiplin menjalankan siasatan tidak wajar dipersoalkan. Sebaliknya, Saifuddin sepatutnya menggunakan ruang yang ada untuk menjelaskan kepada Lembaga Disiplin bagaimana ucapan beliau, yang dilaporkan secara meluas di media massa dan media sosial, tidak mencemar nama baik serta imej parti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rosniza menegaskan, tanggungjawab untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut terletak sepenuhnya di bahu Saifuddin, bukannya di pihak Presiden parti.

Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap keupayaan dan integriti Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Radzi Manan yang disifatkannya sebagai tokoh berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan.

"Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap Lembaga Disiplin," katanya.

Sebelum ini, Saifuddin yang juga Ahli MPT Bersatu dilaporkan bakal dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu bagi siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.