'Presiden akan serahkan baton apabila beliau berundur' - Hamzah

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan 'baton' jawatan terbabit apabila beliau bersedia melakukannya kelak.

Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan mengenai perkara itu bergantung sepenuhnya kepada Muhyiddin dan beliau akan terus setia selagi Presiden masih mahu memimpin parti.

"Saya rasa ia cukup diketahui bahawa presiden ingin menghantar baton kepada saya, apabila beliau berundur. Saya sebagai Timbalan Presiden hanya menunggu.

"Seperti larian 4 x 100 meter, mungkin saya adalah pelari kedua dan beliau adalah pelari pertama. Jadi, saya hanya menunggu.

"Apabila, beliau dekat dengan saya dan menyerahkan baton itu, maka saya akan menerimanya asalkan tidak melepasi garisan," katanya dalam satu temu bual bersama BFM Breakfast Grille.

Hamzah turut menolak dakwaan kononnya mahu mengambil alih kepimpinan Bersatu, sebaliknya menegaskan kesetiaannya terhadap Muhyiddin tidak pernah goyah.

"Seperti ucapan saya ketika pengulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, saya telah tekankan kepada semua bahawa saya penyokong nombor satu kepada Presiden," tegasnya.

Ketika mengulas berhubung kemelut dalaman parti, Hamzah menjelaskan, perbalahan dalam Bersatu bukan sesuatu yang luar biasa kerana perkara sama turut berlaku dalam mana-mana parti politik lain.

“Semua parti politik pasti ada sedikit perbalahan mengenai kepimpinan, bukan Bersatu sahaja. Kita harap isu ini dapat diselesaikan segera, bukan berlarutan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Hamzah turut menjelaskan, dakwaan wujud tiga kem dalam Bersatu iaitu blok Muhyiddin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau sendiri.

Beliau menyifatkan tanggapan bahawa wujudnya beberapa blok dalam Bersatu sebenarnya menggambarkan parti itu mempunyai ramai pemimpin berkualiti dan berpengaruh.

“Apabila ada orang kata dalam Bersatu ada blok Muhyiddin, Azmin dan Hamzah, itu sebenarnya petanda kita mempunyai ramai pemimpin yang diiktiraf rakyat. Itu sesuatu yang baik untuk parti,” kongsi beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu sama ada blok berbeza terbabit wujud, namun melihat bahawa dakwaan itu menunjukkan Bersatu mempunyai pemimpin dikenali ramai.