'Bersatu tidak boleh hanya berpeluk tubuh'

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim menegaskan bahawa parti itu tidak boleh hanya berdiam diri dan mengharapkan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan secara bersendirian selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam temu bual bersama media, beliau mengulas pendedahan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz dalam sebuah podcast mengenai kemungkinan kerjasama antara Bersatu dan UMNO.

“Adakah terdapat usaha oleh Parti Bersatu untuk menjalin kerjasama dengan UMNO? Itu persoalan yang sedang bermain dalam fikiran ramai pihak,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam konteks politik semasa, kerjasama antara parti bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa.

“Kerjasama antara parti-parti politik adalah perkara yang biasa dan boleh diterima. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh, kerana realitinya, PN tidak boleh bergerak secara solo jika mahu membentuk kerajaan selepas PRU16,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada kerjasama antara UMNO dan Bersatu telah mendapat persetujuan seluruh ahli parti, Mohamad Shafiq menegaskan bahawa tidak semua keputusan politik perlu dibuat melalui pungutan suara.

“Jika kerjasama itu benar-benar ikhlas, ahli akan menerimanya. Masalah hanya timbul apabila ada individu yang berkepentingan, yang terlalu memikirkan kedudukan atau jawatan tertentu.

“Apa yang rakyat mahu lihat sekarang ialah perubahan kerajaan, bukan perebutan kuasa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak wujudnya segelintir individu dalam Bersatu yang bercita-cita tinggi untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Semua orang tahu, ada yang mahu menjadi Menteri Kabinet dan Perdana Menteri. Saya dengar daripada rakan Ketua Penerangan Bahagian bahawa Tun Faisal mahu menjadi Menteri Komunikasi.

“(Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali pula sejak Langkah Sheraton sudah menunjukkan minat melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri,” dakwanya.

Namun, beliau menyifatkan cita-cita tersebut sebagai 'angan-angan Mat Jenin' memandangkan kedudukan parti kini semakin lemah.

Menjawab soalan sama ada konflik dalaman Bersatu akan menjejaskan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohamad Shafiq mengakui bahawa keadaan parti masih belum stabil.

“Secara peribadi, saya rasa langkah awal Bersatu di Sabah ini sudah hampir kecundang. Parti-parti lain sudah mula memanaskan badan dan bersedia, tetapi kita masih tercari-cari siapa pelari, baju apa nak dipakai, kasut ada atau tidak. Sedangkan permainan sebenar hampir bermula,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa dalam situasi sebegitu, agak sukar untuk meramalkan siapa yang akan sampai ke garisan penamat terlebih dahulu.