KUANTAN – Pemuda Pas Pahang menafikan sekeras-kerasnya penyebaran poster palsu yang sedang tular kononnya menganjurkan program isi minyak percuma di Stesen Petronas Sungai Koyan 3 atas nama Pas dan Perikatan Nasional (PN) sempena program HOGOH JELAI pada Ahad ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, poster berkenaan tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana pihak rasmi daripada parti tersebut mahupun daripada PN.
Menurutnya, perbuatan itu jelas merupakan satu cubaan murahan oleh pihak yang terdesak, panik dan kehilangan arah untuk memburukkan imej kedua-dua parti gabungan berkenaan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini memperlihatkan bahawa musuh politik Pas dan PN, khususnya UMNO Pahang, kini benar-benar goyah.
“Disebabkan mereka melihat sambutan rakyat terhadap gerak kerja dan program kebajikan yang Pas serta PN usahakan di bawah misi Teraju Pahang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, musuh politik Pas dan PN didakwa hanya mampu mencipta fitnah dan menyebarkan poster palsu.
Ahmad Azlan menambah, pihak lawan kini sedar bahawa rakyat sudah mula membuka mata mengenai siapa pemimpin yang benar-benar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan siapa pula yang hanya pandai bersandiwara ketika kuasa semakin longgar di tangan dan berada di hujung tanduk.
“Kepada pencipta fitnah ini, kami ucapkan ‘terima kasih’ kerana dengan izin Allah, setiap cubaan jahat itu hanya menguatkan lagi semangat perjuangan Pas dan PN Pahang untuk terus membawa politik matang, bersih dan membina, bukan politik desperado yang berpaut pada pembohongan,” katanya.