PRN Sabah: Isu 'tiga serangkai' masalah legasi, jangka masa panjang untuk selesai - Penganalisis

 

KOTA KINABALU - Isu 'tiga serangkai' melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya yang menjadi tumpuan pelbagai parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini disifatkan sebagai masalah legasi yang memerlukan pelaburan besar serta perancangan jangka panjang untuk diselesaikan.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan.

“Ia masalah turun-temurun yang memerlukan pelaburan besar dan perancangan jangka panjang.

"Ia menjadikan isu ini cabaran serius untuk diselesaikan dalam tempoh yang sangat singkat seperti setahun yang dijanjikan oleh Warisan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini bahawa masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama adalah tepat, dengan mengambil contoh projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon II di Papar yang dijadualkan siap pada tahun 2026.

“Projek seperti LRA Kogopon II menunjukkan realiti sebenar tempoh masa yang diperlukan bagi melaksanakan infrastruktur berskala besar,” katanya.

Dr Syahruddin menambah, cabaran teknikal seperti kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi serta sistem paip uzur turut menyukarkan pelaksanaan segera pembaikan infrastruktur.

“Kerja-kerja penukaran paip memerlukan masa dan tidak mungkin dapat disiapkan dalam tempoh hanya 12 bulan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri di bawah GRS telah menetapkan sasaran yang lebih realistik iaitu dua hingga tiga tahun untuk mengatasi gangguan bekalan air dan elektrik, seiring dengan tawaran yang dikemukakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Penyelesaian masalah asas di Sabah hakikatnya memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan serta kerjasama erat antara kedua-dua pihak negeri dan Persekutuan,” katanya lagi.

Dr Syahruddin turut berpandangan bahawa janji Warisan untuk menyelesaikan masalah air dalam tempoh setahun lebih menyerupai strategi politik menjelang PRN17, yang cuba memanfaatkan kegelisahan rakyat terhadap isu berkenaan.

“Meskipun hasrat untuk menyelesaikan isu ini segera adalah murni, realiti pelaksanaan projek infrastruktur yang melibatkan proses perolehan, pembinaan dan cabaran di tapak projek menunjukkan bahawa tempoh dua hingga tiga tahun lebih munasabah untuk melihat kesan yang benar-benar signifikan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, isu tiga serangkai yang dimainkan oleh pelbagai parti, terutama selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dilihat bertujuan untuk meraih kelebihan politik menjelang pilihan raya.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa isu tersebut serta cabaran-cabaran yang dihadapi telah berlarutan sejak sekian lama dan merupakan masalah legasi yang sukar diselesaikan dalam masa singkat.

Katanya, kerajaan yang memimpin ketika ini mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani masalah berkenaan, namun berdepan cabaran dalam memastikan pelaksanaan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.