Armizan jawab serangan, persoal pendirian pemimpin Sabah isu 40 peratus hasil negeri

KOTA KINABALU – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa beliau akan terus mengupas isu hak 40 peratus hasil Sabah yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, memandangkan ia sering dijadikan bahan politik oleh pelbagai pihak tanpa memahami kedudukan sebenar.

Dalam satu hantaran di Facebook, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memuat naik video keduanya berdurasi hampir tiga minit bagi menjawab reaksi terhadap kenyataannya sebelum ini berkaitan isu berkenaan.

“Apapun, saya berterima kasih kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Warisan kerana telah memberi respons terhadap perkara yang saya bangkitkan dalam video pertama saya melalui sidang media beliau pada 14 Oktober 2025,” tulisnya pada Khamis.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, berdasarkan semakan laporan media, antara intipati kenyataan Mohd Shafie ialah pengesahan bahawa kerajaan Warisan ketika itu bersetuju menerima pemberian khas sebanyak RM53.4 juta daripada kerajaan Persekutuan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada kadar 40 peratus hasil bersih yang sepatutnya diperuntukkan kepada Sabah.

“Alasan yang diberikan ialah kononnya kerajaan negeri bertimbang rasa dengan kerajaan Persekutuan kerana simpati terhadap keadaan kewangan negara pada masa itu, belanjawan RM200 bilion dan hutang negara yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu menggambarkan pendirian bertentangan dalam perjuangan menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Isu hak 40 peratus ini amat penting, antara teras MA63. Namun apabila mereka diuji dengan kuasa di tangan, lain dicakap, lain dibikin.

“Boleh pula fikir untuk dahulukan kerajaan Persekutuan, hak negeri tunggu kemudian,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan ahli Kabinet negeri.

“Saya tunggu respons daripada Datuk Seri Madius Tangau. Adakah beliau boleh sahkan turut bersetuju menerima kadar RM53.4 juta itu semasa Mesyuarat Kabinet Sabah pada 16 Oktober 2019?

“Adakah keputusan itu dibuat kerana ‘timbang rasa’ terhadap kekangan kewangan kerajaan Persekutuan? Adakah kertas terperinci berkaitan kedudukan kewangan dan hutang negara dibentangkan dalam mesyuarat tersebut?” soalnya.

Menurut Armizan, selepas video pertamanya mendapat perhatian, terdapat pihak yang cuba menyerangnya dengan mengulang siar rakaman tahun 2023 yang menunjukkan Madius dikatakan 'menyekolahkan' beliau di Parlimen berhubung isu sama.

“Lebih dua tahun saya biarkan saja, kerana rasa hormat kepada orang lama yang kini bersama dalam Kerajaan Madani. Tapi bila ada pihak kongsi semula, maka menjadi hak saya pula untuk menjawab.

“Sebenarnya saya tak perlu jawab, kerana yang berkenaan sudah jawab sendiri dalam ucapan terkini beliau,” katanya.

Video kedua yang dimuat naik beliau bertajuk “'DSP Madius 2023 vs DSP Madius 2025: Hak Sabah 40 peratus, pemberian khas ke atau bukan pemberian khas?' bertujuan menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Menurutnya, kenyataan Madius pada 2023 yang mendakwa isu 40 peratus bukan pemberian khas bercanggah dengan kenyataannya sendiri pada 2025.

“Kuasa Tuhan, tanpa saya perlu jawab panjang lebar, akhirnya yang berkenaan sendiri bagi jawapan,” katanya.

Armizan juga membidas tuduhan kononnya beliau mengelirukan Dewan Rakyat, sambil mengingatkan bahawa perkara itu boleh dianggap sebagai menghina Majlis Parlimen sekiranya terbukti tidak benar.

“Peraturan Mesyuarat 36(12) jelas menyebut, mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jadi, siapa sebenarnya yang mengelirukan Dewan dan rakyat Sabah?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa pemimpin Sabah perlu memahami dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dengan sewajarnya.

“Jangan pegang saja, rajin-rajinlah buka dan baca Perlembagaan Persekutuan. Jangan kasi malu orang Sabah depan rakyat jelata.

“40 peratus pemberian khas itu hak kita. Tapi susahlah kalau pemimpin Sabah sendiri keliru, tidak faham dan lebih teruk lagi mengelirukan orang lain,” tegasnya.

Tambah beliau, perjuangan menuntut hak Sabah bukan sekadar berkisar soal jumlah RM26 juta, RM53 juta atau RM600 juta, tetapi menyentuh soal prinsip dan maruah negeri.