KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 seminggu sebelum hari penamaan calon, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"BN tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kita akan teliti kawasan fokus," kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam Khamis.
Mengulas kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan melipatgandakan usaha untuk memperoleh kemenangan bagi setiap DUN ditandingi susulan kekalahan yang dialami dalam PRN Sabah ke-16 pada 2020.
Beliau turut mengulangi pendirian BN untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini, namun mengakui ia memerlukan kerjasama politik dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri.
"Setakat ini tiada penganalisis sebut ada parti atau gabungan boleh bentuk kerajaan dengan majoriti, ertinya realiti politik Sabah mesti ada jalinan terutama kerjasama semasa prapilihan raya dan pascapilihan raya," katanya.
Terdahulu, semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menerima senarai calon dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima bagi setiap DUN yang akan ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.
Pada 6 Oktober, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri itu.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik. - Bernama