PRN Sabah: Poster calon BN tular palsu - Suhaimi

KOTA KINABALU - UMNO Sabah menegaskan bahawa beberapa poster yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, kononnya mewakili calon Barisan Nasional (BN) adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, penyebaran poster berkenaan dilihat sebagai cubaan terancang pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, tindakan itu juga dilihat bertujuan memecah-belahkan jentera BN serta melemahkan momentum parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

“Cubaan sebegini jelas merupakan strategi pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat, memecah-belahkan jentera BN dan melemahkan momentum kami.

“Mereka tahu BN mempunyai jentera pilihan raya yang kuat, berdisiplin tinggi dan calon-calon yang berkaliber, sehingga potensi kemenangan BN sangat tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, BN Sabah kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan barisan calon terdiri daripada 80 peratus muka baharu, mewakili golongan muda, profesional dan rakyat pelbagai lapisan.

“Gabungan antara pengalaman kepimpinan, strategi yang tersusun serta tenaga baharu diyakini mampu memberi kelebihan besar kepada BN dalam PRN17 akan datang.

“Cubaan pihak tertentu untuk mengacau bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Kami bukan sahaja bersedia, malah lebih kuat. BN tidak akan goyah dengan propaganda palsu, kami fokus kepada kerja, calon dan rakyat,” tegasnya.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menyeru rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu atau poster tiruan yang disebarkan di media sosial.

“Terus berikan sokongan kepada BN yang nyata membawa kepimpinan stabil, pembangunan dan hasil yang terbukti,” katanya.