ALOR SETAR - Pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah dimuktamadkan sepenuhnya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan kerusi telah selesai dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi oleh pimpinan tertinggi parti.
“Kita sedang ‘finalize’ kerusi yang akan ditandingi. Rundingan sudah dimuktamadkan, cuma saya tidak boleh maklum lagi sehingga diumumkan oleh parti.
”Sudah ‘settle’ semua pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN, nanti saya umum berapa kerusi masing-masing,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 1,000 penerima di Wisma Darul Aman pada Khamis.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pengumuman rasmi mengenai calon dan kerusi dijangka dibuat sebelum tarikh penamaan calon pada 15 November ini, namun jentera pilihan raya PN sudah mula digerakkan lebih awal.
“Sabar... sabar... biar suspense sikit. Kalau saya bagi tahu semua hari ini, nanti tak ada berita dah. Apa pun kerja-kerja pilihan raya sudah bermula daripada sekarang. Sebelum penamaan calon nanti akan ada majlis pengumuman calon dan kerusi yang kita tandingi,” katanya.
Pada Khamis, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang akhbar mengumumkan, tarikh penamaan calon pada 15 November manakala tarikh undi awal pada 25 November dan tarikh undi pada 29 November.
Sementara itu, ditanya mengenai pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas negeri Sabah, Sanusi jelaskan, ia adalah jawatan khusus bagi PRN negeri berkenaan dan tidak bertindih dengan peranannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan PN.
“Untuk PRN Sabah, Annuar jadi timbalan saya dan kita lantik dia sebagai ketua di Sabah. Dia ada pengalaman luas dalam UMNO dan kerja-kerja pilihan raya, jadi dia lebih sesuai untuk uruskan Sabah. Untuk senario politik Sabah, beliau lebih sesuai berbanding saya,” katanya.
Tambah Sanusi, faktor geografi dan kekangan masa antara sebab beliau menyerahkan tanggungjawab itu kepada Annuar.
“Saya pun tak ada banyak masa nak pergi Sabah lama-lama, Annuar ada lebih banyak masa untuk fokus di Sabah.
“Sabah tak sama macam Kedah atau Kelantan. Nak pergi satu-satu DUN pun jauh, ambil masa lama. Saya harap Annuar boleh stesen di Sabah sampai pilihan raya hujung bulan November,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau optimis gandingan pengalaman dan strategi bersama Annuar mampu menembusi benteng politik Sabah.
Pada 11 Oktober, Pas melantik Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Sabah dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.
Annuar turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat dan Timbalan Pengerusi Lajnah Pilihan Raya dan Latihan Politik.
Watikah pelantikan itu diserahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada satu majlis di Ibu Pejabat Pas.
Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat sekatan untuk beliau memasuki Sabah sebagaimana yang pernah dihadapi oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Sanusi jelaskan, beliau tidak dikenakan apa-apa sekatan seumpama.
“Tak ada lah... saya orang baik, siapa nak sekat, saya dialu-alukan,” katanya berseloroh.
April lalu, Ahmad Samsuri mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau rapi oleh pihak tertentu.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau perlu melalui kawalan ketat setiap kali berada di sempadan termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, malah memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.