KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan atau sebaliknya sekiranya terdapat kerusi Parlimen sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 diadakan.
Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan untuk menentukan sesuatu kerusi tersebut dikosongkan atau tidak adalah di bawah Speker Dewan Rakyat.
"Untuk dalam konteks ini speaker Parlimen. Jadi, kami menunggu sebarang keputusan daripada Speaker dan jika berlakunya kekosongan, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tempoh notis kita terima daripada Speaker," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini pada Khamis.
Ditanya lanjut jika kerajaan Madani ketika ini sudah mencapai tempoh matang tiga tahun dan dikatakan tidak ada pilihan raya lagi diadakan, beliau menjelaskan perkara itu juga akan diambil kira untuk ditentukan sama ada PRK akan diadakan atau sebaliknya.
"Ya, itu SPR akan putuskan," katanya ringkas.
Ketika ini, dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) masing-masing merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Parlimen Kalabakan yang ketika ini digantung keahlian dalam UMNO dan menyebabkan mereka tidak mungkin akan dapat bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
UMNO Sabah juga sebelum ini menegaskan untuk tidak mencalonkan semula kedua-dua penyandang kerusi DUN tersebut memandangkan mereka kekal menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan itu, jika kedua-duanya mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket parti lain dalam pilihan raya negeri kali ini, ia sekali gus akan mengaktifkan Akta Anti Lompat Parti yang mana mereka terpaksa mengosongkan kerusi parlimen masing-masing.