KOTA KINABALU - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 dengan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung bermula 25 November depan.
Katanya, SPR telah mengambil kira mengenai kesemua kemudahan logistik sebelum menetapkan tarikh-tarikh penting bagi mengadakan proses pilihan raya tersebut.
"Lagipun, proses pengundian ini akan diadakan pada hari Sabtu (29 November 2025). Jadi, Insya-ALLAH tidak akan bertembung dengan peperiksaan dan tidak akan menganggu SPM," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini pada Khamis.
Ditanya mengenai cadangan pihak lain yang meminta SPR supaya pengundi Sabah yang berada di Semenanjung untuk dilaksanakan undi pos, beliau memaklumkan perkara itu belum diputuskan setakat ini.
"Buat masa ini keputusan berhubung perkara sebegitu masih lagi belum diputuskan oleh SPR dan buat masa ini pengundi-pengundi rakyat Sabah yang bukan berada di Sabah, kena balik ke sini (Sabah) untuk mengundi," jelasnya.
Beliau sebelum itu mengumumkan tarikh-tarikh penting berhubung proses pilihan raya bagi negeri Sabah selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 6 Oktober lalu.
SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon pada adalah pada 15 November manakala tarikh undi awal berlangsung pada 25 November dan tarikh mengundi pada 29 November.