SHAH ALAM - 11 parti-parti politik di luar blok kerajaan dalam satu mesyuarat meja bulat pada petang Selasa sepakat menamakan gabungan sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan 'Selamatkan Malaysia'.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah Belanjawan 2026, Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), perkembangan genosid di bumi Gaza, Palestin, keselamatan anak-anak di sekolah dan Akta Perolehan Kerajaan.
Berhubung Belanjawan 2026, kata Muhyiddin, gabungan itu mendapati ia tidak mengurangkan beban rakyat dalam situasi ekonomi yang amat mencabar, malah hutang negara mencecah RM1.6 trilion tidak dapat menampung perbelanjaan untuk pembangunan baharu dan hasil serta pendapatan juga tidak meningkat.
**media[3309104]**
"Kami juga berpendirian tegas bahawa kerajaan bertanggungjawab membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 memandangkan beliau sekutu utama dalam melakukan genosid dan pendukung kuat jenayah kemanusiaan dilancarkan Israel terhadap rakyat Palestin.
"Hubungan ekonomi antara Malaysia dan AS tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima Trump sebagai tetamu negara di pentas ASEAN yang mana blok negara sentiasa mendukung prinsip negara hukum, memelihara keselamatan serta nyawa manusia.
"Selain itu, IPR mendukung usaha rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) untuk membawa mesej perdamaian dan membawa bekalan makanan serta perubatan buat rakyat Gaza.
"Malaysia mesti mengambil pendirian tegas dalam mengembalikan kedaulatan negara dan warga Palestin," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mesyuarat mengambil ketetapan untuk menganjurkan Kongres Nasional IPR pada awal 2026 bagi menegaskan pendirian gabungan menangani isu-isu rakyat selain menyelamatkan Malaysia daripada terus terhumban atau tercicir dalam persaingan rantau serta global.
Sekretariat IPR bakal ditubuhkan untuk melihat konsep dan kesemua aspek kehidupan masyarakat untuk dibincangkan dalam kongres terbabit.
Sidang meja bulat IPR merupakan mesyuarat kedua susulan perjumpaan pertama pada 18 Ogos yang lalu.
Muhyiddin turut memaklumkan, sidang meja bulat itu juga membincangkan tentang URA dan mengambil pendirian bahawa RUU tersebut wajib ditolak.
Jelas beliau, RUU itu tidak menjamin hak pemilik hartanah atau memberikan perlindungan yang adil kerana sebarang pembangunan semula mesti mengekalkan pemilikan kepada pemilik asal, demografi, sejarah dan warisan serta keharmonian penduduk di negara ini.
"Perbincangan IPR juga tertumpu kepada kesan terhadap Akta Perolehan yang sewajarnya ditangguhkan pelaksanaannya atau diletakkan di bawah moratorium sehingga impaknya diteliti secara mendalam bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh kerajaan.
"Ikatan ini turut memandang serius isu keselamatan anak-anak di sekolah melibatkan kes buli, keganasan, rogol dan bunuh. Jenayah ini mesti dihentikan serta-merta dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertanggungjawab merombak semula sistem pendidikan.
"Di samping itu, IPR mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan bagi mengawal penularan bahan berunsur jenayah, keganasan dan buli di media sosial," ujarnya.
Antara pemimpin yang terlibat sama dalam gabungan IPR ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Presiden Parti Berjasa (Berjasa), Zamani Ibrahim.
Turut serta, Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali; Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz; Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy; Pemangku Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohd Ismail Mohd Ibrahim dan Pengerusi Interim Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr P Ramasamy.