PRN Sabah: Hajiji yakin GRS-PH kembali diberi mandat

TAMBUNAN - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin kerajaan pimpinannya bersama Pakatan Harapan (PH) akan kembali diberi mandat untuk menerajui Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada rekod pencapaian kerajaan dalam tempoh lima tahun mentadbir negeri yang disifatkan penuh dengan kejayaan dan inisiatif berpaksikan kepentingan rakyat.

"Di pihak parti-parti di Sabah ini cukup meriah saya tengok. Masing-masing ada niat untuk bertanding. Jadi kita raikan demokrasi.

"Tapi saya yakin kerajaan yang ada pada hari ini, kerajaan GRS dan PH ini akan diberi kepercayaan lagi oleh rakyat kita di Sabah. Ini berlandaskan track record yang telah kita buat, laksanakan pencapaian kejayaan kita dalam lima tahun ini.

"Pelbagai program, inisiatif kerajaan dapat kita jayakan. Bukan saja bawa pelabur yang banyak untuk aktiviti ekonomi kita, tempatan dan luar, tetapi banyak lagi kita bagi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan pendidikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kebakaran Sekolah Agama Negeri di sini pada Selasa.

Menurut Hajiji, antara kejayaan utama kerajaan pimpinan GRS-PH ialah keupayaan memperkukuh ekonomi negeri dengan perbelanjaan pembangunan tertinggi dalam sejarah Sabah.

“Kita belanja empat tahun ini yang tertinggi dalam sejarah negeri Sabah iaitu RM1.2 bilion. Kita juga membantu orang yang susah.

"Bukan saja bantuan rumahnya tetapi mereka yang kurang bernasib baik dalam kategori e-Kasih. Kita bantu RM300 sebulan. Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan Petronas yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada perjanjian itu, Sabah kini menikmati pelbagai peluang dalam sektor minyak dan gas yang membuka ruang pekerjaan serta meningkatkan hasil negeri.

"Banyak peluang dan kebaikan yang kita capai dalam industri minyak dan gas. Dan banyak lagi kejayaan kita walaupun dinafikan oleh pihak pembangkang. Jadi saya harap rakyat dapat menilai semuanya" ujarnya.

Ketika ditanya sama ada kejayaan yang dicapai itu akan dimasukkan dalam manifesto GRS-PH pada PRN17, Hajiji berkata, tawaran yang akan dibentangkan nanti adalah realistik dan berpaksikan kemampuan kerajaan negeri.

"Kita akan bagi tawaran yang baik kepada rakyat kita, yang wajar, yang logik. Manifesto ini kita akan lancarkan selepas penamaan calon," katanya.