KOTA KINABALU - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dijangka bertembung dengan Parti Warisan (Warisan) di banyak kawasan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) selepas mengulangi pendirian untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan politik.
Pendirian itu sekali gus menepis dakwaan kononnya KDM akan menjalinkan kerjasama dengan Warisan, seperti yang tular dalam kalangan penyokong kedua-dua parti sejak kebelakangan ini.
Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi menegaskan bahawa tidak logik untuk parti itu dikaitkan dengan Warisan kerana kedua-duanya akan saling berdepan dalam beberapa kerusi yang sama.
Katanya, khabar angin yang mengaitkan KDM dengan Warisan sebenarnya sudah lama wujud dan semakin ‘kencang’ selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, apabila suasana politik negeri semakin panas menjelang pilihan raya.
"Tapi tidak hairanlah, mereka kemungkinan juga sudah rasa tercabar dengan kekuatan yang ada pada KDM ketika ini, sudah semestinya mereka akan mencari segala isu yang boleh untuk melemahkan kami," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Willie berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya KDM dan Warisan menjalin kerjasama secara senyap-senyap walaupun kedua-dua parti telah mengumumkan akan bertanding secara bersendirian pada PRN17.
Beliau dalam pada itu mengakui isu yang dimainkan pihak lawan sedikit sebanyak memberi kesan kepada persepsi akar umbi, namun menegaskan KDM kekal fokus untuk bertanding secara solo.
"Saya tidak nafikan, isu yang dimainkan memberi sedikit kesan kepada kami, ramai pemimpin-pemimpin di bahagian yang turut bertanyakan kepada saya berkenaan dengan isu ini, sebab itu, hari ini saya ingin nafikan sekeras-kerasnya, kami fokus untuk hadapi PRN17 dan kami akan bertarung secara solo,” katanya.
Sementara itu, Willie turut memaklumkan bahawa senarai calon KDM yang akan bertanding pada pilihan raya kini berada di peringkat akhir sebelum diumumkan secara rasmi.
"Akan diumumkan nanti (senarai calon) dan dijangka sekali dengan pelancaran manifesto parti, tunggu saja," katanya.
KDM yang diterajui Datuk Peter Anthony sebelum ini menegaskan akan meletakkan calon di sejumlah besar kerusi, termasuk kawasan yang turut menjadi tumpuan Warisan, menjadikan persaingan di PRN17 kali ini dijangka lebih sengit.
tamat