TUARAN – Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai tampil menafikan dakwaan kononnya parti itu berhasrat untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu menyifatkan spekulasi yang sengaja disebarkan tersebut sebagai cubaan pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan serta melemahkan perpaduan dalam gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, khabar angin yang sering berulang itu tidak membawa sebarang manfaat selain mengganggu penyokong dan menjejaskan kestabilan politik yang dikekalkan GRS melalui kerjasama kukuh antara parti komponennya.
“Isu PBS keluar daripada GRS tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi kami baru-baru ini.
“Malah, Pemangku Presiden kami, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, sekali lagi menegaskan komitmen PBS untuk memperkukuh GRS sebagai sebuah gabungan tempatan yang kukuh dan terus mengekalkan hubungan kerja baik serta saling menghormati dengan kerajaan Persekutuan,” katanya semasa menghadiri sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Lokub, di sini pada Ahad.
Joniston berkata, pendirian PBS sentiasa berpaksikan keyakinan bahawa perpaduan dalam kalangan parti-parti tempatan amat penting bagi memastikan kestabilan politik jangka panjang serta mempertahankan kepentingan Sabah.
Beliau menegaskan bahawa PBS sentiasa peka terhadap sentimen di peringkat akar umbi, namun dalam masa yang sama menekankan bahawa apa yang popular tidak semestinya betul.
Malah, Joniston turut mengingatkan bahawa perubahan haluan politik yang terlalu kerap adalah tidak sihat kerana boleh menyebabkan ketidakstabilan yang akhirnya menjejaskan kesinambungan dan kemajuan.
“Kita tidak mampu berada dalam keadaan berpecah-belah kerana pihak lain hanya akan mendapat keuntungan daripada perpecahan kita. Kita sedar akan dinamik landskap politik Sabah dan keputusan kita mesti berasaskan realiti semasa,” tegasnya.
Sehubungan itu, Joniston menegaskan bahawa PBS komited memastikan GRS terus berkembang sebagai kuasa politik dominan di Sabah, sepertimana Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.