Mahfuz bidas dakwaan Ahli Parlimen pembangkang Belanjawan 2026 'tempang'

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai 'tempang' dan 'tidak cukup berani'.

Beliau menyifatkan kritikan itu sebagai tidak berasas dan bersifat retorik politik semata-mata.

“Kalau beginilah tahap ‘pakar ekonomi’ pembangkang, tidak hairanlah ekonomi mereka dulu pun pincang ketika memerintah. Retorik mereka kosong macam karipap tak cukup inti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, dakwaan bahawa bajet negara tidak seimbang dan berunsur prapilihan raya adalah tuduhan longgar yang tidak disertakan dengan sebarang data atau analisis fiskal.

Mahfuz melihat kenyataan tersebut sebagai 'bunyi tanpa isi' dan menyeru agar pembangkang berhenti membaca bajet dengan mata politik sempit.

“Kalau hendak bercakap soal keadilan wilayah, bacalah angka dulu. Jangan menuduh sebelum semak dokumen rasmi Kementerian Kewangan. Ilmu ekonomi bukan tentang rasa tidak puas hati, tetapi tentang fakta,” ujarnya.

Mahfuz turut menegaskan bahawa Belanjawan 2026 memperuntukkan pelbagai projek pembangunan di negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, termasuk bekalan air, lebuh raya dan program agromakanan.

Justeru, beliau menyifatkan tuduhan kononnya negeri-negeri tersebut dianaktirikan sebagai tidak berasas.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kerajaan kini berjaya menurunkan defisit kepada 3.5 peratus sambil mengekalkan bantuan kepada rakyat melalui subsidi bersasar dan bantuan tunai.

Katanya, langkah itu sebagai keberanian sebenar dalam mengimbangi disiplin fiskal dan kebajikan rakyat.

“Yang tidak berani ialah kerajaan dulu yang menabur janji populis, menambah hutang dan akhirnya tumbang sebelum sempat menunaikan separuh rancangan sendiri,” katanya lagi.

Mahfuz turut mempersoalkan apakah yang dimaksudkan dengan 'belanjawan berani' oleh Ahli Parlimen Bachok itu dan sama ada pembangkang mencadangkan kerajaan menaikkan cukai, memotong subsidi atau menghentikan bantuan kepada golongan petani dan nelayan.

“Berani membebankan rakyat bukan keberanian, itu kebodohan yang berlagak cendekiawan,” tegasnya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa bajet kali ini bersifat 'bunga-bunga pilihan raya', sambil menyifatkan pembangkang sebagai tidak konsisten dalam menilai dasar kerajaan.

“Hairan bila kerajaan bantu rakyat, dikata beli undi, bila kerajaan tak bantu, dikata zalim. Kalau ikut logik Ahli Parlimen Bachok, kerajaan sepatutnya jangan buat apa-apa supaya pembangkang boleh terus menuduh tanpa malu,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Syahir dilaporkan berkata, Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan sebagai suatu permulaan yang 'tempang' untuk memenuhi aspirasi jangka panjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, belanjawan kali ini dibentangkan dalam suasana politik dan ekonomi yang mencabar dengan tumpuan yang jelas kepada pemberian insentif dan bantuan kepada rakyat.

Katanya, ungkapan 'sukacita diumumkan' berulang kali, memberi isyarat bahawa ini bukan sekadar belanjawan fiskal, tetapi juga sebuah belanjawan prapilihan raya, berdasarkan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan lebih awal pada tahun hadapan.