PAPAR - Hampir 46 tahun selepas kadar terakhir kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menyemak semula kadar pemberian khas Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan jumlah yang meningkat secara berperingkat sejak 2022.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor komited dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63 termasuk tuntutan terhadap kadar pemberian khas 40 peratus hasil negeri.
Menurutnya, selepas berlaku pertukaran kerajaan pada September 2020 antara tindakan pertama yang dilakukan oleh Ketua Menteri ialah menarik balik keputusan pentadbiran terdahulu yang bersetuju menerima kadar RM53.4 juta sebagaimana dipersetujui semasa era kerajaan Warisan.
"Syukur Alhamdulillah, berlaku pertukaran kerajaan negeri pada bulan September 2020 dengan GRS diberikan mandat mengetuai kerajaan.
"Antara perkara pertama yang dibuat oleh Ketua Menteri adalah menulis surat kepada Kementerian Kewangan pada 7 Disember 2020 untuk menarik balik persetujuan kerajaan Warisan yang menerima kadar RM53.4 juta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Kampung Ulu Sapat di sini pada Ahad.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, tindakan berani kerajaan GRS itu membuka ruang kepada rundingan semula dengan kerajaan Persekutuan yang akhirnya berjaya meningkatkan kadar pemberian khas kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
Katanya lagi, hasil hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri, kadar pemberian khas itu terus meningkat kepada RM300 juta pada tahun 2023, RM306 juta pada 2024 dan melonjak kepada RM600 juta bermula tahun 2025.
"Kadar ini juga merupakan pengaturan interim dan tidak prejudis kepada hak Sabah untuk terus menuntut formula 40 peratus dipenuhi," jelasnya.
Armizan berkata, kejayaan tersebut menggambarkan komitmen tinggi kerajaan GRS dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63 bukan sekadar slogan politik semata-mata.
Beliau dalam pada itu turut membidas kerajaan terdahulu yang disifatkan gagal menunaikan amanah rakyat apabila bersetuju menerima kadar yang terlalu kecil bagi pemberian khas itu.
"Warisan pernah mendakwa Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan MA63 selama berpuluh tahun, tetapi apabila berkuasa hasil kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 mereka pula tunduk dengan tawaran kadar RM53.4 juta.
"Itu keputusan rasmi Kabinet Sabah yang dibuat pada 16 Oktober 2019 dan jelas menunjukkan kegagalan mereka menunaikan amanah negeri," katanya.
Sehubungan itu, Armizan menyeru rakyat negeri ini agar menilai rekod pencapaian setiap parti berdasarkan hasil sebenar perjuangan mereka terhadap hak Sabah, bukan semata-mata retorik politik menjelang pilihan raya negeri.
"Dalam mana-mana pilihan raya, semua parti hadir dengan janji dan tawaran. Tetapi rakyat perlu menilai 'track record' bukan sekadar dengar retorik berapi, sebaliknya lihat hasil ketika mereka berkuasa. Bagi Sabah, ukuran paling penting ialah sejauh mana hasil perjuangan mereka dalam isu MA63," ujarnya.
Tambahnya, MA63 kekal sebagai asas utama dalam memperjuangkan kepentingan negeri Sabah, dan GRS akan terus memperkukuh usaha itu melalui saluran rundingan yang harmoni serta berpaksikan semangat Persekutuan Malaysia.