KOTA KINABALU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah tampil memperbetulkan naratif yang mengambarkan seolah-olah wujud pergolakan dalaman dan bantahan besar-besaran dalam kalangan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.
Ketuanya, Zaidi Jatil berkata, kenyataan tersebut tidak bertepatan dengan konteks sebenar perbincangan.
"Sesi pertemuan antara pimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah bersama Ketua-Ketua Cabang PKR yang berlangsung baru-baru ini telah berjalan dalam suasana harmoni, penuh persahabatan dan semangat kekeluargaan parti.
"Hakikatnya, PKR Sabah kekal stabil, bersatu dan fokus terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal tiba.
"Pertemuan tersebut merupakan ruang sihat untuk mendengar pandangan akar umbi serta memperkukuh koordinasi antara cabang dan pimpinan negeri agar parti dapat tampil dengan kekuatan terbaik dalam menghadapi rakyat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zaidi berkata, AMK Sabah menegaskan bahawa pandangan dan suara Ketua-Ketua Cabang serta pimpinan peringkat negeri wajar dihormati dan dilibatkan dalam proses penentuan calon sebagai cerminan prinsip PKR yang mengutamakan musyawarah dan kebersamaan.
"Kami yakin bahawa PKR Sabah akan terus berdiri teguh di atas landasan perjuangan reformasi yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keadilan sosial, memperkukuh nilai Madani serta membawa sinar baharu kepada rakyat Sabah.
"AMK Sabah akan terus memainkan peranan aktif sebagai benteng muda yang memperjuangkan politik nilai, kesetiaan pada perjuangan dan solidariti dalam parti," katanya.