KOTA KINABALU - Bekas Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung mengejutkan arena politik negeri apabila mengumumkan keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Sabtu.
Keputusan itu dibuat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.
Turut mengumumkan keputusan sama ialah bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, keputusan untuk keluar daripada parti dibuat secara rasmi bersama dua cawangan DAP yang berada di bawah pimpinan masing-masing.
“Keputusan ini bukan dibuat dengan tergesa-gesa, sebaliknya ia dilakukan selepas menilai secara teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini.
“Kami melihat dengan jelas tindakan tersirat daripada kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujudnya agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di Tanjung Papat tanpa sebarang rundingan atau perbincangan rasmi,” kata kenyataan itu.
Mereka turut mendakwa hala tuju DAP Sabah kini terlalu menumpukan kepada kelompok muda untuk menerajui parti, sehingga mengabaikan sumbangan pemimpin veteran dan senior.
“Ini menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap pemimpin lama yang telah sekian lama berkorban untuk parti. Kami sebulat suara berpendapat bahawa dalam mana-mana organisasi, perlu ada struktur kepimpinan yang seimbang antara atasan dan akar umbi agar parti dapat berkembang secara harmoni dan inklusif,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata parti itu menghormati keputusan Frankie dan Fui Fui untuk meninggalkan DAP bersama cawangan masing-masing.
“Kami merakamkan penghargaan atas khidmat serta sumbangan mereka sepanjang bersama parti dan kepada rakyat Sabah. Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam segala usaha mereka pada masa hadapan,” katanya.