KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais mengesahkan beliau kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, keputusan itu dibuat berasaskan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta hala tuju Kerajaan Perpaduan yang menekankan prinsip reformasi, keadilan sosial dan integriti pentadbiran.
Mahathir yang juga Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan berkata, dirinya bersedia untuk membantu dasar serta agenda pembangunan negara supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Dalam masa yang sama, saya percaya penting untuk memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada rakyat supaya mereka memahami dasar kerajaan dengan jelas dan berasaskan fakta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan telah bertemu Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dan Pengarah Strategi PKR, Sin Tze Tzin, bagi menyerahkan borang keahlian parti berkenaan.
“Alhamdulillah, kemasukan saya ke dalam PKR telah diterima dan kini saya secara rasmi menjadi ahli Cabang PKR Batu,” katanya.
Mahathir menegaskan, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu mengekalkan keseimbangan yang adil dalam memastikan Islam dipertahankan sebagai agama Persekutuan tanpa menjejaskan hak penganut agama lain.
Tambahnya, perjuangan politik bukan sekadar soal kuasa, sebaliknya tanggungjawab membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara berasaskan nilai kejujuran, amanah dan keadilan.
Terdahulu, keputusan yang dibuat Mahathir itu mencetuskan kejutan apabila pada Januari lalu beliau mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan meletakkan semua jawatan termasuk sebagai Setiausaha PN Wilayah Persekutuan.
Dalam surat yang dikirimkan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, beliau menyatakan peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta tanpa memperincikan sebab keputusan berkenaan dibuat.