Rundingan agihan kerusi GRS–PH berjalan lancar

KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau yakin rundingan berhubung agihan kerusi antara GRS dan PH akan dapat diselesaikan dengan baik hasil perbincangan yang telah dijalankan.

"Kita telah berbincang dengan PH, Datuk Saifuddin baru-baru ini dan saya ingat kita dapat muktamadkan agihan kerusi antara GRS dan PH," katanya ketika ditemui pada program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya lebih 20 kerusi ditawarkan atau diminta PH, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, bahawa setiap gabungan sememangnya mahu memperoleh jumlah kerusi yang besar, namun keutamaan perlu diberikan kepada kawasan yang berpotensi untuk dimenangi.

“Memanglah gabungan itu, mana-mana pun, dia mahu kerusi yang banyak tapi kita mesti praktikal. Mana-mana kawasan yang ada peluang tinggi kita untuk menang, itulah yang kita minta, supaya peluang kita menangkan rakyat juga tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada maksud 'praktikal' itu merujuk kepada jumlah kerusi yang mungkin kurang daripada 20, beliau hanya menyatakan akan menjawab perkara itu kemudian.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status dua penyandang kerusi milik Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) beliau menjelaskan bahawa kedua-dua mereka berhasrat untuk bertanding di bawah tiket GRS.

"Apabila sampai masa kita akan tentukan. Mereka sekarang berkeinginan untuk mewakili ataupun bertanding atas tiket GRS.

"Itu keinginan mereka. Jadi saya tiada halangan kerana mereka adalah pemimpin, seorang menteri dan seorang pembantu menteri," katanya.