'Sejak bila kritik Tun Faisal dianggap serang parti?' - Abdul Razak

ALOR SETAR - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pendang, Abdul Razak Khamis mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin parti yang memanggilnya berhubung kenyataan di media sosial yang dianggap sebagai serangan terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Abdul Razak yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata, beliau diarahkan hadir ke Lembaga Disiplin parti pada Rabu depan, bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, dakwaan bahawa beliau melakukan serangan dan ugutan terhadap Tun Faisal tidak berasas kerana kenyataannya pada 12 September lalu hanyalah teguran dan peringatan supaya Tun Faisal lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum.

“Saya mempersoalkan asas dakwaan tersebut yang mana kenyataan saya adalah berupa teguran dan peringatan kepada Tun Faisal agar beliau berhati-hati dalam membuat kenyataan kepada awam.

“Peringatan saya ini bertujuan untuk mengelak dari berlaku ketegangan dan salah faham antara rakan parti gabungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu turut mempersoalkan asas tindakan disiplin terhadapnya, sedangkan teguran terhadap individu tertentu tidak sepatutnya dianggap sebagai kritikan terhadap parti.

“Saya ingin bertanya, sejak bila mengkritik Tun Faisal dianggap mengkritik parti? Sejak bila pula Tun Faisal itu adalah parti? Takkanlah begitu istimewanya beliau sehingga apabila dia tersinggung, Lembaga Disiplin terus memanggil saya,” ujarnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kenyataan-kenyataan Tun Faisal yang didakwa lebih kerap menyinggung perasaan ahli di peringkat akar umbi, namun tidak dikenakan tindakan yang sama.

“Bagaimana pula komen-komen Tun Faisal yang jauh lebih banyak menyinggung perasaan kami di akar umbi parti?” soalnya.

Pada 12 September, Abdul Razak menerusi akaun Facebook miliknya menulis artikel bertajuk “Amaran kepada Tun Faisal: Patuhi arahan pimpinan dan jangan rosakkan Bersatu dan PN dengan pandangan peribadi kamu”.

Kandungan berkenaan dipercayai menjadi punca beliau dipanggil memberi keterangan.