Spekulasi pembubaran DUN Sabah semakin hangat

KOTA KINABALU - Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin hangat pada masa ini dengan beberapa tarikh disebut-sebut untuk pengumuman rasmi berkenaan.

Terkini, sebuah agensi media melaporkan berdasarkan sumber politik kanan negeri bahawa pengumuman pembubaran DUN Sabah dijangka dibuat pada Isnin ini, 6 Oktober.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin negeri yang dihubungi Bernama menegaskan bahawa tarikh berkenaan masih bersifat spekulatif dan menasihati orang ramai serta agensi media supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Jahid Jahim yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) memberitahu pihaknya belum menerima sebarang isyarat jelas berhubung perkara berkenaan.

"Mungkin esok malam baru tahu (jika pengumuman pembubaran Isnin), belum lagi buat masa ini, tetapi kita sedia,” katanya.

"Tidak lama lagi bubar, sudah dekat. Sabar dahulu,” kata seorang lagi pemimpin.

Seorang lagi sumber berkata "Guna maklumat yang betul untuk berita. Jangan buat spekulasi. Tarikh itu akan diumumkan nanti.”

Sementara itu, jurucakap Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri memberitahu jemputan media bagi menghadiri pengumuman pembubaran DUN oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan dimaklumkan pada waktu yang sesuai.

Hajiji pada Khamis lepas mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini, dan pada hari sama Datuk Seri Kadzim M Yahya mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Sabah untuk penggal kedua di hadapan Tun Musa.

Pada hari yang sama, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun memberitahu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Masidi memberitahu tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti tidak lagi berada dalam GRS susulan keputusan Majlis Tertinggi bahawa mana-mana parti komponen yang bertanding menggunakan logo sendiri tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Selain STAR dan SAPP, GRS turut dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Hajiji sebelum ini mengesahkan GRS akan membentuk pakatan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal seterusnya memberi laluan bagi PRN.- Bernama