ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara-negara berdaulat agar mengambil tindakan tegas terhadap jenayah perang yang terus dilakukan di Gaza.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, dunia diingatkan agar jangan lagi terpedaya dengan naratif palsu ciptaan Israel.
Beliau turut menyifatkan tuduhan Israel yang melabel aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas menampakkan wajah hipokrasi dan kezaliman rejim itu yang cuba dikaburi dengan naratif palsu.
“Dunia tidak sewajarnya terpedaya dengan label ‘pengganas’ ciptaan Israel itu. Hakikatnya, Israel takut pada kebenaran yang dibawa rakyat biasa tanpa senjata, hanya berbekalkan semangat dan solidariti.
“Sedangkan apa yang berlaku di Gaza jelas berbentuk penjajahan, apartheid dan pembersihan etnik paling kejam pada abad ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mahfuz turut menyifatkan perbuatan Israel tersebut sebagai tidak berasas dan keterlaluan, selain cubaan memutarbelit fakta sebenar.
“Aktivis GSF datang untuk menyelamatkan nyawa, sementara Israel terus meragut nyawa. Dunia mesti mengiktiraf keberanian aktivis kemanusiaan ini dan hentikan fitnah yang dimainkan Israel,” ujarnya.
Menurutnya, hasrat murni aktivis GSF yang ditahan rejim Zionis ketika belayar ke Gaza hanya membawa makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin yang dizalimi, tanpa sebarang senjata.
“Mereka membawa makanan untuk mengisi perut penduduk Gaza yang sengaja dibiarkan kelaparan oleh rejim Zionis. Mereka juga membawa ubat untuk merawat mangsa cedera yang disebabkan oleh serangan bom dan peluru Israel.
“GSF datang dengan hati, bukan dengan senjata. Israel pula menunggu dengan peluru, bukan dengan nurani,” katanya lagi.
Menurut Mahfuz, pengganas sebenar ialah Israel yang terus membedil hospital, mengebom sekolah, membunuh kanak-kanak serta menimbus ribuan mayat wanita, warga emas dan bayi di bawah runtuhan bangunan.
“Jika membawa roti, beras dan ubat dianggap keganasan, maka apa pula nama untuk perbuatan melancarkan peluru berpandu ke atas bayi tidak berdosa?” soalnya.
Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, yang menuduh aktivis GSF sebagai pengganas menerusi satu rakaman video.