'Pas tinggalkan Muafakat Nasional kerana wang' - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM – Pendedahan mengenai kos perbelanjaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang didakwa ditanggung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan desas-desus mengenai punca hubungan UMNO dan Pas tidak berpanjangan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pihaknya tidak hairan dengan tindakan Pas yang sanggup meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) semata-mata untuk bergabung bersama Bersatu menubuhkan PN.

“Patutlah Pas sanggup meninggalkan UMNO dalam MN untuk bersama Bersatu mendaftar dan menubuhkan PN.

“Memang waktu itu lagi ramai yang memberikan maklumat bahawa Bersatu menawarkan bantuan kewangan kepada Pas untuk menghadapi PRU15.

“Justeru, hari ini apabila bekas setiausaha politik kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri mendedahkan segala perbelanjaan PN termasuk calon Pas ditanggung Bersatu, hanya mengesahkan cakap-cakap waktu itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mendedahkan keseluruhan kos pilihan raya PN pada PRU15 ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu.

Beliau menjelaskan, anggaran kos minimum bagi satu kawasan Parlimen boleh mencecah RM1 juta dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.

Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya disediakan oleh PN.

Terdahulu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas, mendedahkan kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 dijangka mencecah sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.